Laungan..’Sepakat Sabah Hebat’ bersama Pengarah Pendidikan Sabah
RANAU: Kesejahteraan emosi, kepuasan dalam pekerjaan dan pengurusan kewangan perlu disantuni dan diberi perhatian oleh para kaunselor pendidikan terhadap warga pendidik masa kini. Kaunselor perlu memahami diri klien dan alam sekelilingnya bagi melahirkan satu perubahan, penyesuaian, dan perkembangan positif dalam diri klien terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi.
Berucap merasmikan Program Santunan Kasih Sepakat Sabah Hebat anjuran Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Sektor Psikologi dan Kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohammad Ali kelmarin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia binti Haji Jaman berkata, tidak dinafikan sejak kebelakangan ini isu kesejahteraan emosi dalam kalangan warga pendidik semakin meningkat di seluruh negara. Beliau tidak menolak kemungkinan isu tersebut disebabkan ekoran berlakunya PKP dua tahun lalu.
“Kesejahteraan emosi merujuk kepada keupayaan seseorang individu, peka terhadap emosi dan mampu mengawal emosi dengan berkesan. Kepuasan pekerjaan termasuk keseimbangan dan kepuasan terhadap kerja, pengiktirafan serta pengurusan peribadi manakala pengurusan kewangan berkait rapat kehidupan yang selesa, stabil dalam aspek kewangan dan secara keseluruhannya. Justeru itu, kesejahteraan diri adalah elemen penting menentukan seseorang individu memiliki kehidupan yang lebih selesa. Tindakan mengetepikan aspek psikologi dalam kerja harian memberikan kesan negatif terhadap apa juga program dalam sesebuah organisasi,” katanya.
“Isu kesejahteraan bukanlah dilakukan oleh seseorang walaupun ia merujuk kepada individu. Kesejahteraan emosi pada dasarnya merujuk kepada kesejahteraan individu namun kebanyakan penyebab gangguan emosi adalah dipengaruhi faktor persekitaran tempat bekerja. Oleh itu antara kita dengan satu yang lain perlu saling membantu kerana tanpa kesejahteraan emosi, seseorang individu itu sukar menyumbang secara maskimum terhadap kerjayanya,” katanya.

Tah Nia menerima cendera kenangan daripada Vincent.
Tah Nia menghargai Program Santunan Kasih dan yakin Sektor Psikologi dan Kaunseling boleh berjalan secara aktif serta membangun dan menyantuni warga pendidik di setiap daerah.
“Saya jangkakan tuan dan puan telah pun berkongsi ilmu bermanfaat yang boleh diaplikasi untuk diri sendiri dan orang lain agar saling dapat melengkapi antara satu dengan lain demi kesejahteraan emosi,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan aluan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Vincent Sabin berkata Progam Santunan Kasih Sepakat Sabah Hebat adalah satu program induk SPsK JPN Sabah yang akan dijalankan di setiap daerah mengikut Zon secara bergilir-gilir. PPD Ranau adalah termasuk dalam Zon Barat bersama PPD Kota Belud, PPD Tuaran dan PPD Penampang.
Menurutnya, program santunan kasih di Daerah Ranau telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 14 September. Kumpulan sasaran adalah guru bimbingan dan kaunseling menggunakan modul Intervensi Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) serta dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor pendidikan daerah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Pada hari ini 15 September, sasaran ialah di kalangan semua Pengetua dan Guru Besar menggunakan Modul Pengurusan Konflik yang dikendalikan oleh Kaunselor Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Penyelaras Program selaku Kaunselor Pejabat Pendidikan Daerah, Encik Bungkias Angkapoh dan semua jawatan kuasa yang terdiri daripada staf Pejabat Pendidikan Daerah Ranau atas kerjasama memastikan program ini berjalan lancar. Ucapan penghargaan dan terimakasih juga kepada Pengetua SMKA Mohammad Ali Ranau kerana membenarkan sektor psikologi dan kaunseling menggunakan dewan ini sebagai vanue,” katanya.