24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kes kebakaran dan penyelamatan di Ranau menurun pada 2019 berbanding 2018.

BBP Ranau turut merekodkan jumlah kerugian akibat kebakaran untuk tahun yang sama iaitu sebanyak RM1,717,624 (2019) dan RM22,352,581.36 pada 2018.

-Ridwan Mohd Taib-

Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau merekodkan 64 kes kebakaran di daerah ini pada tahun 2019 berbanding 99 kes dalam tempoh sama pada 2018.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika mengesahkannya berkata, jumlah tersebut membabitkan pelbagai jenis kebakaran.

Katanya, rekod juga menunjukan penurunan  sebanyak 34 kes pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh itu sebanyak dua kes kematian akibat kebakaran telah direkodkan pada 2019 dan jumlah yang sama pada 2018.

“Manakala seramai enam orang direkodkan cedera pada 2019, dan jumlah itu meningkat berbanding hanya dua orang pada 2018,” katanya ketika kepada media pada Selasa.

Dalam pada itu, BBP Ranau turut merekodkan jumlah kerugian akibat kebakaran untuk tahun yang sama iaitu sebanyak RM1,717,624 (2019) dan RM22,352,581.36 pada 2018.

Sementara itu, bagi operasi Menyelamat dan Khidmat Kemanusian, BBP Ranau merekodkan 196 kes sepanjang tahun 2019, menurun lapan kes berbanding 2018 yang mencatatkan 204 kes.

“Daripada jumlah itu, tiga kematian, 71 cedera dan tujuh selamat telah direkodkan pada 2019, manakala sepanjang tahun 2018, mencatatkan 10 kematian, 46 kecederaan dan 12 orang selamat,” jelasnya.

Ridwan dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa melakukan aktiviti melibatkan api bagi mengelakkan berlakunya kebakaran  yang menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar mengawasi dan memantau anak agar tidak bermain dengan benda yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Selain kemalangan berpunca daripada api, orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di air seperti memancing, riadah san sebagainya,” ujar Ridwan.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan penubuhan Bomba Komuniti  di setiap kampung di daerah ini dalam usaha mendekatkan lagi pasukan beruniform itu dengan masyarakat.

Jelas Ridwan, penubuhan Bomba Komuniti merupakan satu usaha yang sangat berkesan dalam usaha memupuk semangat kerjasama antara bomba dan masyarakat.

“Penubuhannya juga merupakan platform dalam menyampaikan ilmu dan latihan dalam persediaan menghadapi kecemasan dalam kes kebakaran,” tambah beliau-TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN