30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KERJAYA SEORANG PENTADBIR BUKAN MILIK MUTLAK

Gambar: dif jemputan, (dari kiri) Noorhayati, Ismail, Vincent, dan Hilda (berbaju merah)

TIDAK dinafikan, kerjaya sebagai seorang pentadbir sekolah adalah pemimpin yang bertanggungjawab mengatur strategi kejayaan bagi sesebuah sekolah dengan sokongan semua pihak termasuk guru, kakitangan sokongan, pelajar, dan juga Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Selain memainkan peranan penting sebagai pentadbir, pengurus dan juga pemimpin, seseorang guru besar itu harus berjiwa besar dan bercita-cita tinggi serta sentiasa menjalinkan kerjasama erat dan saling menyokong di antara guru-guru pimpinannya bagi memastikan objektif sebenar sekolah tercapai.

Seseorang pentadbir juga sentiasa perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada kakitangan sokongan bawahannya. Adakalanya ketrampilan dan ketegasan seorang guru besar itu juga perlu ditonjolkan bagi memastikan warga sekolah terus fokus mencapai visi dan misi sekolah.

Melihat kepada peranan dan tanggungjawab seorang pentadbir ini mungkin boleh disimpulkan bahawa kehidupan berkerjaya sebagai seorang guru besar sebenarnya merupakan sesuatu yang paling indah dan patut disyukuri. Bagi individu yang bergelar guru besar pastinya mempunyai pelbagai pengalaman indah sepanjang berkecimpung dalam dunia pendidikan.

Vincent (wakil PPD) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Alexius

Namun, harus disedari bahawa kerjaya sebagai seorang pentadbir pada akhirnya semua itu bukanlah milik mutlak seseorang kerana kenikmatan itu hanyalah dipinjam daripada generasi masa hadapan.

Demikian antara kata-kata di baris akhir ucapan yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nalapak Ranau, Alexius Majinggol 60 tahun, yang mengakhiri kerjayanya sebagai seorang penjawat awam di De Flower, Kilimu baru-baru ini.

Menurut Alexius, beliau akan bersara wajib daripada Perkhidmatan Pendidikan bermula 10 April 2022 setelah berkhidmat selama 40 tahun dari mula dia bertugas sebagai Guru Akademik Biasa (GAB) di SK. Napong dalam tahun 1982.

“Pada kesempatan ini mohon izin untuk saya mengucapkan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua atas kerjasama sepanjang saya menjadi pentadbir SK. Nalapak. Terimakasih kepada PIBG yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama, terimakasih juga kepada pihak pengurusan Sabah Tea kerana sentiasa memberi sumbangan kepada pihak sekolah dan juga pengurus Tagal Luanti. Saya memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan, keterlanjuran perbuatan dan kata-kata yang telah menggores perasaan dan hati sesiapa sahaja samada secara sedar atau tidak sedar di sepanjang perkhidmatan saya” katanya.

Terdahulu sebelum Alexius dijemput menyampaikan ucapan, sebahagian biodata dan pencapaian sekolah telah dibacakan oleh Pengacara Majlis, Annong Parijo dan Razwan Garidi.

Antaranya, menjadi Ketua Rombongan Program Lawatan & Penanda Aras Tahun 6 setiap tahun ke luar daerah, Ketua Rombongan ke Tugu Budaya Folklore 2012 yang mana peserta dari SK. Nalapak ketika itu mendapat 3 anugerah, pencalonan sekolah sebagai penerima New Deal 2014 dan sekolah sebagai pusat kerja amal pelajar dari universiti antarabangsa.

Sepanjang perkhidmatan, Alexius dianugerahkan sijil perkhidmatan cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2020 oleh Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.

Turut berucap pada majlis itu ialah Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Nalapak, Hilda Henry dan Guru Kanan Pentadbiran, Paul Gambisir. Manakala dif-dif jemputan yang hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Sektor Pembelajaran, Vincent Sabin, Noorhayati Robert (Pengerusi Tagal Luanti) dan Ismail Martin Kong Abdullah (General Manager Sabah Tea Resort).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN