ADVERTISEMENTspot_img

Kerjasama pelbagai pihak penting untuk pembangunan gerakan koperasi negara – Ewon

EWON menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang peserta yang bertuah

MELAKA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menegaskan kebersamaan dan kerjasama semua pihak amat penting dalam memperkasa pembangunan gerakan koperasi di negara ini.

Beliau berharap, inisiatif seperti networking golf sempena Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 bukan sahaja memperkukuh jalinan profesional, malah memupuk persahabatan yang akan menjadi asas kerjasama lebih erat dalam pembangunan sektor koperasi.

“Hadiah atau piala yang dimenangi adalah satu kenangan. Namun, hadiah sebenar ialah persahabatan yang terjalin kerana daripada persahabatan itulah akan lahir pelbagai usaha baik untuk manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai networking golf yang dihoskan oleh Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) sempena sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025, di sini hari ini.

Program networking golf tersebut turut disertai oleh para pegawai kanan kerajaan, wakil agensi berkaitan, serta para pemimpin gerakan koperasi dari seluruh negara.

Ewon turut menyatakan rasa bangga terhadap semangat dan usaha koperasi-koperasi yang menyertai pameran produk dan perkhidmatan sepanjang sambutan HKN 2025 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Dari petang semalam hingga ke tengah hari tadi, saya telah mengunjungi kesemua reruai koperasi yang mengambil bahagian di MITC. Saya sangat berbangga melihat pencapaian mereka, daripada koperasi keluarga di kampung-kampung hinggalah koperasi peringkat kebangsaan seperti koperasi tentera,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman berinteraksi dengan wakil-wakil koperasi yang berkongsi kisah jatuh bangun mereka dalam membangunkan koperasi masing-masing.

“Saya percaya kejayaan gerakan koperasi ini tidak akan berlaku tanpa sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian KUSKOP, kementerian-kementerian lain yang berkaitan, pegawai kerajaan, institusi kewangan koperasi serta para pemimpin ANGKASA.

“Bila berkongsi kisah perjalanan gerakan koperasi, jatuh bangun itu saya percaya banyak bergantung kepada kerjasama kita di Kementerian KUSKOP dan kementerian-kementerian lain yang bersesuaian.

“Kita lah yang membantu menjadikan gerakan koperasi ini lebih baik daripada apa yang kita lihat pada hari ini. Mudah-mudahan networking golf ini bukan yang terakhir tetapi ada pengisian-pengisian akan datang,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN