DSP Simiun Lomudin menyampaikan cendera kenangan kepada Albert Chang, Ketua Cawangan Persatuan Vetran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Daerah Ranau
RANAU: Kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) daerah ini amat dialu-alukan bagi mewujudkan persekitaran harmoni dan tahap keselamatan sentiasa berkekalan.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin menjelaskan perkara itu berkata, badan NGO seperti Persatuan Vetran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Daerah Ranau antara organisasi yang mampu memainkan peranan penting dengan pihak PDRM untuk sama-sama menangani sebarang kegiatan jenayah yang boleh menguggat keselamatan masyarakat disini.
Katanya, pengalaman bekas-bekas Pegawai dan Anggota Tentera yang telah bersara masih boleh dimainkan terutama membantu pihak PDRM menyalurkan apa juga bentuk maklumat salah laku jenayah termasuk kegiatan penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan individu.
“Saya mengalu-alukan kerjasama semua pihak khasnya Persatuan Vetran Angkatan Tentera Malaysia Daerah Ranau bagi memantapkan lagi peranan kami sebagai badan penguatkuasa undang-undang utama di daerah ini. Saya yakin, pengalaman yang dimiliki setiap ahli persatuan boleh menjadikan daerah Ranau terus menikmati keharmonian yang diharapkan masyarakat”, tegasnya ketika mengadakan pertemuan dengan ahli persatuan tersebut pada Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
Selain itu, Simiun turut menasihatkan agar ahli-ahli PVATM Daerah Ranau sentiasa memberi peringatan kepada ahli-ahli mereka dan orang ramai agar tidak terjebak dengan sebarang kancah jenayah dan penyalahgunaan najis dadah yang boleh merosakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Tegasnya, walaupun trend jenayah di daerah ini tidak begitu serius, namun kes-kes membabitkan penyalahgunaan dadah serta pembuatan senjatapi haram (Bakakuk) masih menunjukkan peningkatan dan perlunya penguatkuasaan tegas pihak polis.

DSP Simiun (tengah) bergambar kenangan bersama Ahli-Ahli PVATM Daerah Ranau dan pegawai kanan polis IPD Ranau
Dalam pada itu, Ketua Cawangan PVATM Daerah Ranau, Albert Chang menyatakan, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama jitu kepada pihak PDRM untuk mempastikan keselamatan seluruh masyarakat daerah ini sentiasa dalam keadaan terjamin.
Katanya, agenda kerajaan yang baik untuk masyarakat akan terus dipertahankan demi keharmonian semua pihak dan semua ahli-ahli persatuan bersiap sedia dikerah untuk sebarang program kemasyarakatan.
“Persatuan Vetran Angkatan Tentera Malaysia Daerah Ranau mempunyai seramai 110 orang keahlian. Kami bergiat aktif dalam apa juga aktiviti sosial dan kemasyarakatan di sekitar Daerah Ranau. Justeru, kami bersiap sedia dikerah dan melibatkan diri dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan termasuk anjuran pihak PDRM Ranau’’, jelasnya.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah ASP Helvin Ribus selaku Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau dan Inspektor Nabil Afif Abd. Rahman, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ranau serta beberapa ahli Persatuan Vetran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Daerah Ranau.