30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KERANA HOBI ‘RC CRAWLER’ JADI KENDERAAN HANTARAN PERTUNANGAN

RC Crawler membawa cincin pertunangan

BIASANYA.. pada hari pertunangan, rombongan dari pihak keluarga lelaki akan datang meminang dengan mambawa bersama satu set barang hantaran dan cincin pertunangan. Cincin dan hantaran pertunangan itu kemudiannya diletakkan di satu tempat khas. Setelah selesai sesi perbincangan dari kedua belah pihak, acara penyarungan cincin pertunangan akan dilakukan oleh pasangan yang bertunang disusuli penyerahan hantaran pertunangan daripada ibu lelaki kepada ibu perempuan sebagai tanda ikatan pertunangan.

Namun, berlainan pula dengan suasana yang berlaku di majlis pertunangan antara Juanson Moidin 31 dan Kelly Angel 25 yang berlangsung di Twin Cottage Ranau baru-baru ini. Pada awal ketibaan rombongan lelaki, sebahagian ahli keluarga di pihak perempuan berasa ada sedikit kejanggalan kerana semasa rombongan lelaki masuk ke dalam rumah pihak perempuan, tiada satu pun yang dibawa bersama atau sebarang benda yang boleh menunjukkan tanda barangan hantaran pertunangan. Namun begitu acara majlis tetap diteruskan juga sehinggalah kepada acara penyarungan cincin dan penyerahan hantaran pertunangan.

Juanson dan Angel mengeluarkan cincin pertunangan mereka

Sebaik diumumkan acara penyarungan cincin dan penyerahan hantaran pertunangan, suasana dikejutkan dengan perarakan masuk kereta ‘RC Crawler’ (Remote Control Crawler) sebanyak 7 buah yang datang dari arah luar bergerak masuk secara perlahan-lahan ke dalam membawa bersama dua bentuk cincin dan set barangan hantaran pertunangan yang dinanti-nantikan. Semua yang menyaksikannya mengukir senyuman dan memberikan tepukan.

Menurut Juanson yang berasal dari Kampung Pahu Kiulu, kerana hobinya yang suka bermain RC Crawler timbul ideanya untuk menjadikan RC Crawler sebagai kenderaan yang akan membawa cincin dan hantaran pertunangan untuk kekasihnya. Katanya dia memilih cara kelainan itu semata-mata untuk mencoret secebis kenangan manis mereka berdua dan sebagai penyeri suasana majlis pertunangannya.

Perarakan masuk membawa hantaran pertunangan

Apabila ditanya tentang keistimewaan bermain RC Crawler katanya, permainan ini cukup unik dan mencabar kerana pengendali akan merasai sendiri debaran sebenar semasa mengawal kenderaan kecil melepasi setiap halangan trek seperti bukit dan tidak rata, jambatan, batu, air dan lubang. Selain itu perminanan RC Crawler adalah salah satu aktiviti yang berfaedah yang sesuai untuk mengisi masa lapang yang ada katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN