25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Teliti Keperluan Tambahan Pegawai Psikologi

Zainudin (kiri) menyampaikan sijil CHRO kepada sebahagian pengurus sumber manusia

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri meneliti keperluan penambahan bilangan Pegawai Psikologi bagi memastikan penjawat awam mendapat sokongan mendepani cabaran mental dan emosi.


Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong berkata data terkini menunjukkan seramai 198  penjawat awam negeri yang menjalani saringan kesihatan mental daripada Jabatan Perkhidmatan  Awam Negeri (JPAN) dikesan berhadapan isu kemurungan, kebimbangan, dan tekanan.


“Pelaksanaan saringan ini merupakan satu inisiatif proaktif bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang tahap kesihatan mental penjawat awam di peringkat JPAN. 


“Melalui data yang diperoleh, Kerajaan Negeri berharap agar tahap kesihatan mental para penjawat awam di Sabah dapat dikenal pasti supaya pelaksanaan intervensi yang sesuai serta efektif dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan khusus.  


“Statistik ini mencerminkan cabaran besar yang memerlukan tindakan kolektif serta strategik untuk ditangani dengan berkesan dan JPAN akan terus menjalankan program intensif berimpak tinggi untuk melahirkan lebih ramai subject matter expert dalam kalangan penjawat awam negeri,” katanya semasa merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam 2024, pada Khamis.


Menurut Safar, persidangan tersebut bukan sahaja menekankan kesejahteraan psikologi tetapi juga peranan pentingnya dalam bidang pengurusan sumber manusia.


“Psikologi sangat dekat dengan tugas dan tanggungjawab Pegawai Pengurus Sumber Manusia (PSM), contohnya kejayaan program Certified Human Resource Officer (CHRO) yang dianjurkan oleh JPAN adalah satu langkah penting mempersiapkan PSM yang profesional menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang dinamik.


“Selain itu, Portal Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling yang dibangunkan oleh JPAN juga dilancarkan sebagai satu  lagi inisiatif pendigitalan kerajaan.


“Portal ini dibangunkan untuk memastikan penjawat awam, tidak kira di mana jua mereka berada, termasuk yang berada di kawasan luar bandar, dapat mengakses sokongan psikologi yang diperlukan secara dalam talian dengan mudah dan selesa,” jelasnya.


Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainudin Aman.


Sementara itu, Zainudin ketika ditemui media berkata pelbagai tindakan intervensi akan dilaksanakan antaranya dengan menambah perjawatan Pegawai Psikologi untuk memberikan khidmat kaunseling terbaik kepada penjawat awam di seluruh  Sabah.


“Hal berkaitan psikologi ini sangat penting untuk kita berikan perhatian sebab akan memberikan kesan positif atau negatif kepada kakitangan awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.


“Jumlah itu (Pegawai Psikologi) kita belum boleh muktamadkan tetapi pertambahan itu adalah pasti,” ujarnya pada persidangan yang dihadiri seramai 350 penjawat awam persekutuan dan negeri itu.


Turut berlangsung, penyampaian sijil CHRO kepada sepuluh penjawat awam negeri pelbagai jabatan yang terlibat dalam pengurusan sumber manusia. -Penerangan-


HL/SMR-ZA

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN