TINJAU…. Bashir (dua kiri) bersama Rithuan (kiri sekali) dan Hamir (kanan sekali) mendapatkan maklumat daripada Pengarah JBA Muhamad Zulkeflee (dua kanan) mengenai perkembangan kerja-kerja pembaikan paip bocor di Jalan Pulau Enoe, pada Jumaat.
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Haji Alias bersama kepimpinan masyarakat Labuan yang lain meminta kerajaan Persekutuan untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengganti struktur paip lama yang telah mencecah usia hampir 30 tahun.
“Boleh dikatakan kejadian paip air pecah dan bocor sering berlaku disebabkan faktor usia paip yang mencecah lebih 20 hingga 30 tahun.
“Penggantian paip lama ini perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan berlakunya gangguan bekalan air yang berterusan di pulau ini” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kerja-kerja membaik pulih paip pam utama menyaluran air bersih ke loji rawatan air Jalan Kolam yang bocor di Jalan Pulau Enoe, dekat sini, pagi kelmarin.

Kebocoran paip berukuran 800mm di Jalan Pulau Enoe sejak enam hari lalu menyebabkan 85 peratus penduduk pulau ini mengalami gangguan air bersih.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Wilayah Persekutuan Labuan, Muhamad Zulkeflee Yusof menjelaskan ketika ini kerja-kerja membaik pulih sedang giat dilaksanakan 24 jam tanpa henti melalui kontraktor yang dilantik disamping mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu serta terdapat beberapa kabel elektrik voltan tinggi dan paip gas berhampiran paip air yang pecah itu menyebabkan kerja-kerja pembaikan paip dibuat dengan lebih teliti sekaligus menyukarkan untuk menyiapkan dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata, hasil daripada pemantauan yang dibuat kemungkinan besar kerja-kerja membaik pulih memakan masa antara 7 hari hingga ke 10 hari ini. termasuklah bagi kerja-kerja pembersihan loji rawatan air utama Jalan Kolam.
Hadir sama meninjau kerja-kerja membaik pulih itu, Timbalan Ketua Pegawai Ekesekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Haji Ismail dan Yang Di Pertua Parti PAS Bahagian Labuan, Haji Hamir Zahari.
Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Labuan dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air dan Jawatankuasa Krisis Air telah mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih 40 tangki air statik ke 27 buah kampung bagi membekalkan air bersih mengunakan penghantaran lori yang dilaksanakan 24 jam sehari.