Hajiji ketika ditemui media di IPK Polis Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis yang merupakan rakan strategik utama keselamatan dan pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur.
“Dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), keselamatan adalah pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta teras kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan, pada Rabu.
Beliau turut memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah sebagai Galeri Polis Negeri Sabah.
“Ia bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi ia adalah arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih, dan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.
“Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara.
“Ia merupakan wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahu pun sudah bersara,” ujarnya.
Di samping itu, Hajiji memaklumkan galeri tersebut akan menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini.
“Pameran utama yang dipamerkan di galeri tersebut antaranya adalah insiden Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013, yang terus menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini.
“Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya.
Sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Hajiji meminta seluruh anggota PDRM untuk terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.
“Bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, saya berharap semua anggota polis akan terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi serta menjadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong./Penerangan–



