28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri sumbang 100 Mesin Hemodialisis Bantu Pesakit Kurang Mampu

SIMBOLIK…James (empat dari kiri) menyerahkan simbolik penyerahan kepada Dzulkefly (tiga dari kanan). -Foto oleh Penerangan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyumbangkan 100 mesin hemodialisis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan akses rawatan pesakit buah pinggang, khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan.

Sumbangan menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) ‘Sabah Sejahtera’ itu akan diagihkan ke 23 hospital dan dua klinik di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata Sabah kini mempunyai 474 mesin hemodialisis, namun hanya 435 daripadanya berfungsi dengan baik, manakala selebihnya mengalami kerosakan.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir (ESRF), selain menyokong usaha meningkatkan kualiti rawatan dialisis di fasiliti kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis di Unit Hemodialisis, Hospital Queen Elizabeth II, pada Khamis.

Menurutnya, jumlah pesakit ESRF di fasiliti kesihatan kerajaan Sabah terus meningkat daripada 1,831 orang pada tahun 2020 kepada 2,133 orang setakat tahun ini.

“Melihat kepada peningkatan berterusan ini, kerajaan negeri komited memperkasakan perkhidmatan kesihatan demi memastikan pesakit menerima rawatan mencukupi dan berkualiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, James yang juga Exco Kesihatan negeri memaklumkan pesakit yang menggunakan mesin hemodialisis di fasiliti kerajaan dikecualikan daripada bayaran RM13 bagi setiap sesi rawatan.

“Kerajaan negeri turut memberikan subsidi RM100 sebulan kepada pesakit yang menjalani rawatan dialisis peritoneal berterusan ambulatori (CAPD) di rumah,” katanya.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman. –PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN