TERIMA KASIH …. Jahid menyerahkan sumbangan sejumlah RM10,630.00 kepada Guru Besar SK Kapa, Hjh Sadia @ Sadiah Hj Yahya, sambil disaksikan YDP PIBG SK Kapa, Finian Rindum dan pemimpin masyarakat lain yang turut hadir.
TAMPARULI: Kerajaan Negeri sentiasa peka dan memastikan setiap murid atau pelajar yang layak, tidak keciciran daripada menerima bantuan kerajaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan sentiasa ingin memastikan kemajuan dan kecemerlangan sekolah di kawasan luar bandar, sekaligus merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.
“Segala usaha dilakukan bukan sahaja memberi manfaat besar kepada sekolah-sekolah, malah rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kapa, dekat sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Kapa, Finian Rindum, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kapa, Jasrin Basinau, kakitangan Pejabat Menteri dan pemimpin masyarakat di sekitar Tamparuli.
Katanya, Kerajaan Sabah sentiasa mengambil inisiatif untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang berkualiti.
“Selain bantuan dari pihak kerajaan, dan pemimpin itu sendiri, kita juga perlu menggunakan kaedah-kaedah kreatif untuk memudah cara, bagi meringankan beban ibu bapa dan memberi semangat kepada murid-murid untuk meneruskan pembelajaran seharian,” katanya.
Pada majlis itu, Jahid yang juga ADUN Tamparuli, mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Guru Besar SK Kapa, Hjh Sadia @ Sadiah Hj Yahya, yang bakal bersara tidak lama lagi.
“Harapan kami semoga cikgu terus berbakti kepada keluarga, masyarakat, dan negara, serta dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan kelak, insyaallah,” katanya.
“Perpisahan cikgu dengan sekolah ini pastinya sesuatu yang sangat bererti kerana banyak sumbangan telah diberi beliau bukan sahaja dalam melahirkan modal insan tetapi juga dalam memastikan SK Kapa dapat berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan sekolah luar bandar yang lain,” katanya.
Terdahulu, Sadia berkata, beliau amat menghargai sumbangan Jahid kepada pihak sekolah tersebut sejak dahulu hingga kini.
Sumbangan Jahid sejumlah RM10,630.00 itu adalah bagi membantu membiayai pembaikan tandas sekolah, membeli keperluan pakaian kebudayaan, dan sedikit tabung kepada PIBG sekolah.
Untuk rekod, SK Kapa kini mempunyai seramai 80 pelajar termasuk murid Pra Sekolah.