26 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri Salur RM474.55 Juta Tingkat Modal Insan Melalui Pendidikan

ANUGERAH KHAS… Raisin (lima dari kiri) menyampaikan Anugerah 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri salur RM474.55 juta bagi memperkasa modal insan melalui pendidikan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha tersebut adalah bagi memperkukuhkan pembangunan modal insan agar lebih ramai anak watan dapat melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.


“Baru-baru ini, kerajaan negeri telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah(PTPS) yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal.


“Ini adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa modal insan yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan.


“Saya berharap JPN Sabah akan membantu memperluaskan hebahan mengenai portal ini bagi memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini, ” katanya pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) ke-12 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Isnin.


Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi JPN  dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.

“Usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.


“Kerjasama ini amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.”Justeru, semua pihak yang berkaitan termasuk warga JPN, pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak-anak kita.

“Kewujudan sebuah sistem pendidikan yang bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting.

“Oleh itu, warga JPN Sabah khususnya berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.


“Kerajaan negeri juga sentiasa menyokong usaha JPN dalam menjayakan hasrat dalam sembilan Fokus Landskap Pendidikan yang terkandung dalam hala tuju pencapaian yang digariskan oleh JPN bermula tahun 2024 hingga 2025.


“Ini termasuklah deklarasi yang diterjemah daripada Landskap Pendidikan iaitu menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 1.0 yang menggariskan pembangunan modal insan antara objektif utama,” jelasnya.


Beliau berharap, ilmu dan cara pengajaran berasaskan teknologi komunikasi dan internet (ICT) terus diamalkan dan dibudayakan, sekaligus menjadikan cabaran dan ilmu semasa pendemik sebagai pengubah cara dalam pengajaran, sesuai dengan aspirasi negara untuk memiliki sistem pendidikan yang berdaya saing, kompetitif dan cemerlang.

Pada majlis tersebut Hajiji turut menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri Sabah kepada mantan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran, Datuk Mary Teresa Kinajil dan mantan Pegawai Pengurusan Peperiksaan IPG Kent Tuaran Sufiah Abd Rahim Lee @ Lee Choi Wan menerima Anugerah Khas Pengarah JPN Sabah .


Turut disampaikan, Anugerah Khas MEKAR kepada Pejabat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar yang menerima Anugerah PPD Cemerlang Gred B dan PPD Kota Kinabalu yang menerima Anugerah PPD Cemerlang Gred A serta 200 penerima lain dalam pelbagai kategori anugerah.


Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd ArifinMohd Arif, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar dan Timbalan Pengarah JPN Sektor Pembelajaran merangkap Pengerusi Penganjur MEKAR Ke-12 Nurani Fauziah Derin./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN