Deckson (berdiri barisan depan lapan dari kiri) bergambar bersama guru-guru dan pelajar yang mengikuti program itu.
NABAWAN: Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor amat komited membangunkan modal insan negeri ini termasuk golongan pelajar.
Melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan 29 Mac 2021, kerajaan telah meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras hala tuju kerajaan Negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, banyak inisiatif khusus kepada belia diperkenalkan baik dalam bidang pendidikan, sukan, rekreasi, keusahawanan dan sebagainya.
Katanya, dalam bidang pendidikan, terdapat banyak program dan inisiatif dilaksanakan kerajaan.
“Antara yang diperkenalkan kerajaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI). Para pelajar dalam kalangan B40 yang berjaya melanjutkan pengajian kali pertama ke peringkat ijazah sarjana muda dan diploma akan diberi bantuan one off berjumlah RM2,000 (sarjana muda) dan RM1,500 (diploma) untuk memastikan para pelajar terlibat dapat membiayai sebahagian daripada yuran pengajian masing-masing atau keperluan lain yang mendesak” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Ceramah Motivasi IKRAR ‘Aku Pelajar Hebat’ yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan II di sini pada Rabu (hari ini).
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai.
Selain itu katanya, pelbagai lagi inisiatif disediakan kerajaan khusus kepada golongan pelajar antaranya Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang memanfaatkan para pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang menerima RM200 untuk keperluan Peperiksaan. Melalui bantuan ini, para pelajar terlibat dapat membeli peralatan peperiksaan sekali gus menjadi tonik kepada mereka untuk menduduki peperiksaan dengan kondusif dan bersemangat. Saya optimis, para peserta yang hadir dalam program ini antara yang mendapat manfaat daripada inisiatif BAKTI.
Kerajaan juga katanya, telah merangka banyak inisiatif dan program baharu yang mengkhususkan bidang pendidikan termasuk BAGUS, BISBAH, AKSA, BAIK dan lain-lain yang mana kesemua ini merupakan bantuan kepada pihak sekolah dan para pelajar secara langsung.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan bantuan kepada golongan belia yang berkecimpung dalam perniagaan melalui Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS). Bantuan ini menyasarkan para belia sama ada untuk memulakan, memulihkan atau mengembangkan perniagaan. Inisiatif ini pasti membantu mereka yang layak sekurang-kurangnya untuk kembali bangkit akibat kesan negatif yang ditinggalkan oleh pandemik COVID-19” jelasnya.
Pada masa katanya, melalui pelaksanaan pelbagai program yang telah, sedang dan akan digerakkan membuktikan betapa Kerajaan Negeri Sabah amat mengambil berat kebajikan dan pembangunan modal insan Negeri ini.
“Kita meletakkan keyakinan tinggi kepada kerajaan pimpinan Ketua Menteri untuk memacu negeri ini lebih maju dan gemilang. Dengan rekod dan pencapaian tersebut, kerajaan negeri amat memerlukan kestabilan untuk terus fokus membangunkan negeri ini. Saya harap kita akan terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan negeri Sabah. Kita perlu sederap dan bersama membangunkan negeri Sabah” tambahnya.
Pada masa sama Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) mengucapkan tahniah kepada IKRAR atas penganjuran program pada hari ini.
Seramai hampir 300 orang pelajar daripada SMK Nabawan II dan SMK Nabawan mengikuti program itu.
Program seumpama ini amat baik sekali terutamanya sebagai tanda kebersamaan pihak kerajaan dengan para pelajar negeri ini.
Ceramah motivasi program itu disampaikan oleh Tuan Hadi Hidayah dan Tuan Yusuf Hasni.
Pengisian ceramah seperti ini juga amat baik bagi memastikan para pelajar mendapat tonik terbaik untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.