27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri Keluarkan 90 Kampung Daripada Kawasan Hutan Simpan: Ewon Benedick

Oleh Marryan Razan

PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah bersetuju mengeluarkan sebanyak 90 buah kampung di seluruh negeri yang berada dalam kawasan Hutan Simpan.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Daria.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri dua hari lepas dan akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri kerana berkaitan dengan rang undang-undang warta hutan simpan.

“Sebelum ini Ketua Menteri (Datuk Seri Panglima Shafie Apdal) menyatakan akan mengeluarkan kampung-kampung yang sudah sekian lama terperangkap dalam kawasan Hutan Simpan. Semua ahli Jemaah Menteri menyokong penuh wawasan beliau ini kerana ianya merupakan perkara yang banyak kali kami bangkitkan kepada beliau.

“Justeru, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas, YAB Ketua Menteri telah membentangkan sebanyak 90 buah kampung akan dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan dan ianya disokong penuh oleh semua menteri. Kami juga memberi pandangan beberapa kampung lain yang juga boleh dikeluarkan daripada Hutan Simpan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pelancaran Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kg Kibunut di sini pada Jumaat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, keputusan tersebut merupakan satu sejarah yang diambil oleh Kerajaan Negeri sesuai dengan aspirasi rakyat Sabah kerana permasalahan kampung yang terperangkap dalam kawasan hutan simpan telah menghantui penduduk sejak sekian lama.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Ini menunjukkan keprihatinan pucuk pimpinan negeri terhadap masalah-masalah rakyat dalam perkara ini,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kibunut Daria Madating dalam ucapannya, menyuarakan keluhan para penduduk kampung mengenai permasalahan lot kampung dan tanah pertanian mereka yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Kibunut.

Menurut Dariah, kampung mereka telah wujud sejak sekian lama dan tidak pernah dimaklumkan semasa proses pewartawaan hutan simpan di kampung mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, Ewon menyatakan akan berbincang dengan para pimpinan dan pentadbiran di peringkat daerah Penampang sebelum memaklumkan masalah itu kepada Jemaah Menteri.

“Tetapi sebagai respon kepada ucapan pengerusi penganjur, saya ingin menyatakan bahawa pimpinan Kerajaan Negeri Sabah sangat prihatin ke atas permasalahan rakyat sebegini. Itu sebabnya kita memulakan dengan mengeluarkan 90 buah kampung daripada kawasan hutan simpan.

“Oleh kerana penduduk kampung Kibunut telah menyampaikan permasalahan ini kepada saya dan dibangkitkan dalam ucapan pengerusi penganjur, maka menjadi tanggungjawab saya untuk mengangkat perkara ini ke meja penyelesaian.

“Saya akan mendapatkan pandangan kepimpinan dan pentadbiran di peringkat daerah terlebih dahulu sebelum membawa perkara ini ke mesyuarat Jemaah Menteri,” kata Ewon.-TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN