KOTA KINABALU : Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 dilaksanakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan itu merangkumi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas sambutan Aidilfitri.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti jenis barangan yang akan dikawal mengikut lokasi pelaksanaan skim berkenaan.
“Sebanyak 24 jenis barangan dikawal di Semenanjung, manakala 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya ketika merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, pada Ahad.
Beliau berkata tugas KPDN menjadi lebih mencabar setiap kali musim perayaan kerana perlu memantau bekalan dan harga barangan di seluruh negara.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera kementerian termasuk pasukan penguatkuasa yang bekerja keras demi kepentingan rakyat.
“Jika bekalan ayam atau telur berkurang, orang akan mencari menteri. Jika harga naik, kementerian juga akan dipersalahkan.
“Sebab itu mereka perlu memantau setiap daerah bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga tidak melambung,” ujarnya.
Beliau menambah kerajaan mengekalkan harga diesel di Sabah walaupun penyelarasan harga telah dilaksanakan di Semenanjung, memandangkan penggunaan diesel di negeri ini tinggi, termasuk untuk sektor pengangkutan dan logistik. Oleh: Penerangan-



