25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan hargai sumbangan syarikat swasta dan NGO hulur bantuan- Jahid

SUMBANGAN… Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau (dua dari kiri)menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima sumbangan sambil disaksikan oleh Jahid(tengah)

TAMPARULI- Usaha para syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan untuk menyumbang kepada masyarakat memerlukan sangat dihargai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, dengan adanya syarikat swasta dan NGO yang tampil memberi bantuan sedemikian, lebih banyak pihak lain di luar sana yang akan turut sama menyumbang.

“Terima kasih kepada mereka yang terfikir untuk mengatur bantuan atau sumbangan seperti ini, dengan harapan lebih banyak pihak lain yang akan tampil dengan usaha dan niat yang sama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam program Majlis Penyampaian Bantuan Creamos Bun Dan Ikan Dalam Bentuk Sejuk Beku kepada masyarakat memerlukan di Sekolah Menengah Adventist Sabah (SASS) Tamparuli, dekat sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak, Presiden SDA Mission Of Sabah Merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Pastor Nelson G Bendah, Pengetua SASS Tamparuli, Alben Rotop dan Guru Besar Sekolah Rendah Advent Tamparuli, Florence Rojiin.

Katanya, sebelum ini, pihak Kim Teck Cheong Consolidated Berhad telah banyak menyumbang kepada para barisan hadapan di hospital dan klinik kerajaan dan kini tampil membantu golongan memerlukan termasuk juga kawasan kampung yang penduduknya dikuarantin.

“Dalam usaha kita untuk membantu golongan masyarakat agar keluar daripada garis kemiskinan, kementerian juga sentiasa berusaha untuk mempermudahkan penyaluran daripada pihak-pihak yang ingin memberikan bantuan seperti yang dilakukan syarikat ini,” katanya.

“Bagi pihak kepimpinan di sini, kita amat menghargai Dexter dan team beliau kerana sudi mengongsikan rezekinya kepada masyarakat lain, semoga rezeki mereka akan bertambah tanpa henti,” tambah Jahid.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, berkata beliau gembira kerana di samping menyumbang mereka juga berpeluang memperkenalkan produk makanan berbentuk Creamos Bun keluaran syarikat itu kepada masyarakat.

Beliau berkata, usaha seumpama itu adalah kelaziman buat rakyat Malaysia yang sentiasa membantu antara satu sama lain termasuk ketika negara mendepani Pandemik Covid-19 ini.

“Hari ini, selain roti Creamos Bun, kita juga memberi sumbangan ikan dalam bentuk sejuk beku, yang mampu membantu sekurang-kurangnya 500 buah keluarga,” ujar Dexter.

Sumbangan itu katanya adalah sebagai menyokong segala usaha kerajaan yang sentiasa prihatin dengan golongan memerlukan dan ianya merupakan sebahagian dari usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.

Hadir sama pada majlis singkat itu ialah Pengerusi JPKK Kampung Topokon, Josie Aloysius dan Pengerusi JPKK Kampung Rongolis, Wilfred Wahit.

Untuk rekod, projek tersebut diselanggara oleh Better Bets Project diketuai oleh Sylvia Pius Laban dan Sifera Kodoh.

Jumlah Creamos Bun yang disumbangkan adalah sebanyak satu tan iaitu kira-kira 10 ribu plastik, 30 beg beras dan setengah tan ikan sejuk beku.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN