Gambar: KAN Dualis (3 dari kiri) ketika penanaman getah oleh Abidin sebagai simbolik penanaman getah secara berkelompok LIGS
USAHA kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui wakil-wakil rakyat yang sentiasa turun padang mendampingi dan menjiwai masalah rakyat menjadikan GRS terus diyakini dapat membantu rakyat di negeri ini.
Bagi penduduk di 8 buah kampung (Wallou Paus, Panulangon, Tubau, Pudau, Nimbalai, Nahaba, Tinanom dan Botung) ekspedisi turun padang baru-baru ini oleh ADUN Paginatan bersama rombongan ke Kampung Panulangon yang dihadiri wakil penduduk di 4 buah kampung (Panulangon, Nimbalai, Nahaba, Tubau) disifatkan sebagai sesuatu yang amat bermakna dan memberi gambaran bahawa kerajaan GRS begitu prihatin dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Menurut Ketua Anak Negeri (KAN) Paginatan, Dualis Porodtong 53 tahun, mereka memahami kesibukan para wakil rakyat menjalankan tugas seharian sebagai pemimpin kerajaan apatah lagi seperti wakil rakyat mereka sendiri yang dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah. Walaupun sibuk, wakil rakyat mereka tetap akan turun padang di mana pun tempat, sekalipun terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke satu-satu destinasi.
Menurut Dualis, rakyat sekarang sudah matang dan bijak menilai seseorang pemimpin dan kerajaan yang benar-benar dapat memajukan rakyat dan negeri. Beliau melihat pentadbiran kerajaan negeri di bawah tampuk pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih stabil dan meyakinkan. Beliau juga mengandaikan GRS sentiasa memastikan wakil rakyat di setiap kawasan berusaha sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik dan adil kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

Gambar (Sumber: Lensa Dari Ranau): Abidin (3 dari depan) pernah berjalan kaki selama 6 jam ke Kg. Panulangon
“Kita bersyukur para pemimpin kerajaan di negeri ini dan persekutuan khususnya di DUN Paginatan, DUN Kundasang, DUN Karanaan dan Parlimen Ranau yang semakin mengutamakan kepentingan rakyat. Ini terbukti melalui berbagai perubahan demi perubahan yang boleh dilihat di setiap kampung seperti kemudahan asas jalanraya, jambatan, perpaipan, perparitan, bangunan komuniti termasuklah bantuan-bantuan kebajikan dan sebagainya” katanya.
“Sebagai contoh, sebelum jalanraya dibina di sini, kenderaan sukar untuk masuk ke 8 buah kawasan perkampungan dan ini bukanlah kali yang pertama malah wakil rakyat kami telah pernah merasai kepayahan dan keletihan penduduk di sini dengan berjalan kaki selama 6 jam untuk melihat keadaan dan mendengar permasalahan penduduk di kawasan ini” ujar Dualis yang sentiasa mengikuti perkembangan ADUN Paginatan.

Gambar: Jambatan konkrit menyeberang Sungai Liwagu Kegibangan bakal diguna lebih 1,298 orang penduduk
“Penduduk di kawasan ini kini dapat menarik nafas lega dengan adanya kemudahan asas seperti pembinaan jalanraya menghubungi kawasan kampung dan jambatan konkrit menyeberang Sungai Liwogu Kegibangan yang sedang dalam pembinaan” ujar Dualis.
“Para penduduk bersyukur kerana jambatan yang menyeberang Sungai Liwagu Kegibangan yang menjadi laluan utama mereka ke pekan Ranau dan ke kawasan-kawasan pertanian sedang dalam penyiapan. Lebih 1,298 orang penduduk di kawasan 8 buah kampung dan kawasan-kawasan berhampiran bakal menikmati kemudahan ini” ujar Dualis lagi.