KOTA KINABALU: Sekiranya keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah betul, ia harus diterima dengan sebaiknya.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jika keputusannya itu betul maka, semua pihak kena menerimanya.
“Kalau hari ini TYT setuju dengan Ketua Menteri untuk membubarkan DUN maka, keputusannya kalau benar..betul, kita kena terima. Setiap daripada kita kena buat keputusan untuk masa depan kepimpinan di negeri ini.
“Untuk memastikan siapa lebih baik, itu terpulang kepada parti-parti yang ada untuk berjuang bagi menentukan rakyat menerima mereka.
“Pada saya, rakyat yang akan menentukan kerana ini negeri mereka sendiri,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan TYT membubarkan DUN Sabah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa perjumpaan bersama pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah, di Pusat Dagangan Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Mengenai surat akaun sumpah (SD) 33 ADUN terhadap Tan Sri Musa Aman yang dikatakan tidak diterima oleh Tun Juhar Mahiruddin, perkara berkaitan politik sebegini boleh menjadi spekulasi untuk sesiapa sahaja bercakap dan berbincang mengenainya.
“Bagi saya, saya mahu melihat penyelesaian secepat mungkin. Tidak kira apa yang mereka cakap. Apa yang penting kita cari bagaimana penyelesaiannya,” ujarnya.
Ditanya mengenai kehadirannya menemui Tun Juhar, Menteri Dalam Negeri ini berkata, tidak salah untuknya berjumpa sahabat lama yang sudah dikenali sejak 90an.
Katanya, memang dalam perjumpaan itu mereka ada berbincang tentang masa depan Sabah namun, biarlah apa yang dibincangkan itu cukup diketahui oleh mereka berdua.
Tambahnya, beliau yakin Tun Juhar tidak akan menyalah guna kedudukan dan untuk jadi ketua negeri Sabah biarlah dia bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.
“Saya tahu apa yang kami bincangkan dan dia (Tun Juhar) patut tahu apa yang saya telah maklumkan jadi tidak payahlah saya menyatakannya.
“Apa yang penting, jika benar keputusan yang dibuat dimana, kita perlu hadapi pilihan raya jadi, kita perlu hadapi pilihan raya. Biar Allah sahaja yang tahu siapa lakukan perkara yang benar dan siapa yang menyalah guna kedudukan masing-masing,” ujarnya.
Pada 30 Julai, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengumumkan persetujuan TYT untuk membubarkan DUN Sabah.
Bagaimanapun, keputusan itu dicabar oleh Musa bersama 32 ADUN lain yang mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan. Musa bersama kumpulannya memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan TYT tersebut.
Keputusan permohonan semakan kehakiman itu akan diputuskan pada 17 Ogos depan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Borneo Today