Dr. Awang Faisal Assyiffa,
KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat satu detik bersejarah apabila Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan pemberian khas 40 peratus hasil negeri itu, satu hak fiskal yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Dr. Awang Faisal Assyiffa, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti nyata keikhlasan kerajaan pimpinan Anwar dalam menghormati hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping mengiktiraf kebijaksanaan dan kecekapan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurutnya, kejayaan ini menunjukkan pendekatan diplomasi, rundingan berhemah dan kepimpinan matang yang diamalkan GRS akhirnya membuahkan hasil selepas puluhan tahun perjuangan rakyat Sabah menuntut hak mereka.
“Hajiji Noor dan barisan kepimpinan GRS telah membuktikan bahawa kesabaran berprinsip dan kuasa diplomasi mampu membawa pulang hak negeri tanpa perlu berkonfrontasi politik,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, keputusan bersejarah itu membuka lembaran baharu dalam pentadbiran hasil negeri, yang dijangka membolehkan lebih banyak dana terus disalurkan kepada kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan peluang pekerjaan.
“Kerajaan GRS kini berada dalam posisi strategik untuk memastikan pelaksanaan hak 40 peratus ini benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan sekadar angka di atas kertas,” katanya.
Dr. Awang Faisal turut menegaskan bahawa kejayaan ini mencerminkan gaya kepimpinan Hajiji Noor yang rasional, tegas dan berprinsip, selain menjadi lambang kestabilan serta kematangan politik Sabah.
“Dalam suasana politik negara yang sering sarat dengan retorik, Hajiji tampil sebagai pemimpin rasional yang membina jambatan, bukan tembok
“Beliau berunding tanpa tunduk, tegas tanpa memusuhi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar yang disifatkan bersedia menghormati hak Sabah secara ikhlas, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keadilan dan saling percaya antara kerajaan negeri serta Persekutuan.
Dr. Awang Faisal menambah, perjuangan menuntut hak Sabah bukan lagi sekadar slogan politik, tetapi telah diterjemahkan kepada realiti pentadbiran di bawah GRS.
“11 November 2025 akan dikenang sebagai hari kemenangan rakyat Sabah, hari di mana perjuangan selama lebih lima dekad akhirnya diiktiraf sepenuhnya
“GRS telah membuktikan bahawa dengan kebijaksanaan dan kesabaran, Sabah mampu menang dengan maruah,” jelas beliau



