Penyampaian sijil peserta ‘kakakapan id gayo ngaran’ oleh Josie kepada wakil peserta dari Daerah Ranau
RANAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sentiasa memberi sokongan penuh terhadap program yang mengukuhkan kekuatan dan kesatuan komuniti di kawasan Taman Kinabalu.
Setiausaha Tetap KePKAS Datuk Josie Lai, berkata, program seperti Hari Komuniti Taman Kinabalu malah telah disenaraikan sebagai program tahunan dalam kalendar kementerian bagi memastikan kesinambungan penganjuran acara ini.
Selain itu, katanya, kementerian turut memberikan sokongan berbentuk pembangunan infrastruktur dan penganjuran kursus-kursus berkaitan pelancongan kepada komuniti di sekitar Taman Kinabalu.
“Langkah ini sejajar dengan usaha kementerian untuk mengukuhkan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang menjadi teras kepada pembangunan mampan di kawasan ini.
“Di bawah garis panduan UNESCO, penglibatan komuniti merupakan elemen penting dalam pengurusan kawasan terlindung seperti Taman Kinabalu.
“Kita sedar bahawa usaha memelihara alam sekitar dan mempromosikan pelancongan mampan tidak boleh dilakukan oleh satu pihak sahaja,” katanya.
Oleh itu, Josie berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, kementerian Kesihatan malaysia (Hospital Ranau) serta komuniti adalah kunci kepada kejayaan ini.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan acara penangguhan Majlis Sambutan Hari Komuniti Kali Ke-8 dan Ulangtahun Pengisytiharan Kali Ke-24 Unesco Tapak Warisan Dunia yang diadakan di sini baru-baru ini.
“Ia adalah satu penghormatan besar untuk kita semua dapat berkumpul di sini, meraikan ulang tahun ke-24 Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menghargai usaha bersama yang telah menyumbang kepada kejayaan ini.
“Tahniah kepada pihak penganjur serta semua yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini. Dari awal hingga ke penghujung program, komitmen, kerjasama, dan kesungguhan semua pihak sangat jelas kelihatan.
“Terima kasih kepada komuniti, agensi-agensi yang terlibat, pihak keselamatan, serta para peserta yang menjadikan program ini sangat bermakna.
“Program seperti ini bukan sahaja satu perayaan, tetapi juga bukti kukuh tentang kekuatan dan kesatuan komuniti di kawasan ini,” katanya.
Josie menambah, seramai 1,467 peserta daripada 38 kampung di Kota Marudu, Kota Belud, dan Ranau telah mengambil bahagian dalam sambutan itu, dan ini mencerminkan semangat komuniti yang padu serta keinginan untuk terus menyokong pembangunan yang mampan di sekitar Taman Kinabalu.
“Melalui pelbagai gerai komuniti yang dipamerkan, kita dapat melihat kreativiti, kemahiran, dan dedikasi komuniti tempatan dalam menghasilkan produk-produk tradisional, seperti makanan tradisi dan kraftangan.
“Aktiviti ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan komuniti, tetapi juga mengekalkan warisan budaya yang menjadi kebanggaan kita semua,” kata beliau.
Menurut Josie, sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Taman Kinabalu melambangkan kecemerlangan dalam pemuliharaan alam sekitar, warisan budaya, dan pembangunan komuniti.
Katanya, kejayaan mengekalkan status ini selama 24 tahun adalah hasil usaha dan sokongan semua pihak, terutama komuniti setempat yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian kawasan ini.
“Justeru, tanggungjawab untuk melindungi Taman Kinabalu adalah tanggungjawab bersama. Program ini adalah sebagai satu manifestasi bahawa apabila kita bekerjasama, tiada halangan yang tidak dapat kita atasi.
“Taman Kinabalu bukan sahaja warisan semula jadi kita, tetapi juga lambang identiti kita sebagai rakyat Sabah yang menghargai kekayaan alam dan budaya.
“Semoga kita terus komited dalam usaha melindungi dan memajukan kawasan warisan ini untuk generasi masa hadapan,” jelas beliau.
Turut hadir Pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Maklarin Bin Lakim, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, wakil Pegawai Daerah Kota Belud, Ranau dan Kota Marudu, Ketua Balai Bomba Ranau Ridhwan Mohd. Taib, Ketua Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Justinus Guntabid, dan lan-lain.



