27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KENAIKAN HARGA BARANGAN MENGHIMPIT KEHIDUPAN PENGGUNA : JAMES

Gambar: James Baga

KOTA KINABALU: Kenaikan harga barangan yang semakin tidak terkawal di negeri ini menambah beban kepada masyarakat pengguna terutama sekali golongan berpendapatan rendah.

Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Baga, berkata ini kerana harga barangan kini sudah tidak selari dengan kemampuan kuasa beli pengguna.

Katanya, apa yang sangat menyedihkan ialah kenaikan harga barangan ini berlaku semasa pandemik Covid-19 di mana pengguna berusaha bermati-matian untuk mencari pendapatan bagi menampung kos perbelanjaan untuk kelansungan hidup mereka.

“Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan tambahan malah menghimpit kehidupan pengguna tidak ubah seperti mencurah garam pada luka atau ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Justeru, solusi tuntas perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk membela pengguna yang terkesan. Kos sara hidup yang semakin melonjak tinggi di negeri ini perlu ditangani segera sebelum ianya menjadi kritikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini

Menurut James, bahang kenaikan harga barangan mulai terasa apabila terdapat peningkatan harga yang mendadak terhadap barangan keperluan harian termasuk peralatan pertanian dan bahan binaan seperti racun, baja, papanlapis, besi dan sebagainya.

Sebagai contoh jelasnya, besi Y12 yang berharga RM26.00 kini naik mendadak kepada RM52.00 sebatang. Begitu juga dengan plywood ketebalan 3mm yang berharga RM17.00 kini dijual dengan harga RM21.80.

“Kenaikan harga bahan-bahan binaan ini sudah tentu akan mempengaruhi harga rumah yang dibina oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan di mana semua kenaikan kos yang terlibat terpaksa ditanggung oleh penguna sebagai pembeli.

“Meskipun barangan ini tidak termasuk dalam senarai barang kawalan namun ianya perlu pemantauan bersepadu di antara agensi-agensi yang terlibat untuk mengenal pasti punca kenaikan harga sama ada dilakukan oleh pengilang, pengeluar, pemborong, pembekal ataupun dilakukan oleh peruncit itu sendiri.” Jelasnya

Tegas James, mana-mana pihak yang terlibat harus dihadapkan ke mahkamah dan didakwa melalui undang-undang sedia ada di bawah akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Mereka yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman harus diwar-warkan melalui siaran akhbar dan media sosial sebagai pengetahuan umum selain menjadi amaran kepada pengusaha atau peniaga-peniaga yang lain.

“CAPS yakin kenaikan harga barangan ini bukan lagi disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran tetapi lebih kepada kenaikan harga untuk mengaut keuntungan yang melampau.

Apa yang pasti ialah tindakan para peniaga yang tidak bertanggung jawab ini bukan sahaja memudaratkan pengguna malahan akan memberi kesan buruk kepada sosio-ekonomi serta menyekat pembangunan dan kemajuan ekonomi negara,” gesanya.

Selaku presiden CAPS, beliau menyeru masyarakat pengguna di negeri ini menggunakan hak mereka untuk membuat aduan jika terdapat kenaikan harga yang tidak berpatutan atau munasabah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Aplikasi Whatsapp di nombor 0192794317 dengan menyatakan nama, lokasi, harga barangan serta gambarnya sekali.

“Ini memudahkan pihak KPDNHEP untuk mengambil tindakan susulan dalam masa 24 jam,” tambah James.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN