BERKUALITI TINGGI…..James menunjukkan hasil ternakan lobster dari ladang di daerah Papar yang diusahakan oleh Terry Chong salah seorang penternak lobster tempatan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pertanian dan Perikanan akan terus mempergiatkan penternakan lobster bagi tujuan pengeksportan yang sekaligus menjana ekonomi dan pendapatan negeri serta penternak.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Datuk James Ratib menjelaskan perkara itu berkata, ketika ini pengeluaran lobster bagi tujuan eksport dari Sabah dianggarkan sekitar 40 tan yang dikeluarkan dari ladang penternakan sekitar Daerah Putatan, Kinarut dan Papar. Namun demikian ia masih belum mampu memenuhi sepenuhnya permintaan daripada peraih dari luar negara seperti China dan Hong Kong.
“Permintaan lobster daripada negara luar seperti China dan Hong Kong amat besar ketika ini. Negeri Sabah antara pemain eksport utama yang aktif namun jumlah itu masih belum mampu memenuhi permintaan besar di negara berkenaan. Justeru, saya menggalakkan para penternak terus memperhebatkan lagi ternakan lobster bagi tujuan pengeksportan”, jelas James.
Namun dalam masa sama, James turut mengingatkan bahawa walaupun permintaan tinggi lobster daripada negara luar, produk itu masih tertakluk kepada kawalan perundangan dimana hanya lobster yang diternak secara berlesen oleh pengusaha boleh dieksport. Penangkapan lobster di perairan negeri Sabah adalah dilarang dibawah Akta Perikanan 1985.

James meninjau ladang penternakan lobster disekitar Daerah Putatan sambil diiringi oleh Pegawai Perikanan Negeri Sabah.
“Setakat ini pihak kementerian mengeluarkan permit mengeksport lobster secara sementara sehingga keadaan pandemik Covid-19 reda. Ia bukan dibuat secara terbuka dan hanya penternak berlesen boleh diberikan permit tersebut. Manakala penangkapan secara terbuka di laut adalah ditegah bagi memelihara haiwan itu dari ancaman kepupusan’’, tegasnya ketika melawat ladang penternakan lobster di sekitar Daerah Putatan dan Papar pada Rabu yang turut disertai Lawrance Kissol, Penolong Pengarah Perikanan Negeri Sabah.
Dalam pada itu, James turut mencadangkan agar Jabatan Perikanan Negeri Sabah terus menjalankan Penyeledikan dan Pembangunan lebih komprhensif untuk mengeluarkan benih lobster yang berkualiti tinggi bagi tujuan pengeksportan.
Katanya, beberapa pegawai dan kakitangan jabatan itu boleh dihantar ke luar negara seperti Australia untuk mendalami ilmu pembenihan dan pembiakan lobster pada masa akan datang.
‘’Kemahiran yang bakal mereka dapat disana bakal diterjemahkan kepada para penternak untuk menghasilkan benih lobster yang terbaik dari negeri Sabah’’. Tambahnya.