33 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kementerian Pendidikan, tolong tunaikan janji bina SMK Kundasang bernilai RM43 juta.

Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN

KUNDASANG: Ratusan penduduk Kundasang menyertai himpunan aman di sini pada Sabtu untuk menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunaikan janji membina bangunan baharu SMK Kundasang bernilai RM43 juta.

Mereka menuntut dan mendesak KPM menyegerakan pembinaan semula SMK Kundasang yang telah diluluskan tahun 2014 dan sepatutnya siap pada 2016 seperti diumumkan Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu, Datuk Jame Alip.

Menurut ketua penganjur perhimpuan aman, Japiril Suhaimin berkata, sehingga kini selepas tujuh tahun berlalu, pembinaan SMK Kundasang seperti yang dijanjikan belum dimulakan. Hal itu mengecewakan masyarakat Kundasang sehingga membawa kepada tunjuk perasaan menerusi perhimpunan aman.

JAPIRIL (kanan)..mengetuai tunjuk perasaan menerusi Perhimpunan Aman di Kundasang pada Sabtu.

“Kami masyarakat Kundasang khususnya ibu bapa pelajar sekolah terbabit sangat kecewa, rasa tertipu serta diabaikan selepas kami dijanjikan tetapi tidak ditunaikan. Ini masa depan pendidikan anak-anak kami,” katanya.

Japiril menjelaskan, selepas pihak berkuasa mengisytiharkan struktur bangunan SMK Kundasang tidak selamat pada Oktober 2012 akibat berlaku gelinciran tanah, satu arahan dikeluarkan oleh KPM agar SMK Kundasang ditempatkan sementara di bangunan lama SMK Agama Ranau yang telah dikosongkan pada Disember 2012.

KPM..Kembalikan SMK Kundasang ke tapak asal segera!!

“Pada ketika itu kami tiada pilihan dan akur dengan keputusan KPM demi kelangsungan pendidikan anak-anak kami, walaupun terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan kerana sekolah sementara yang dicadangkan terletak lebih 15 kilometer dari Kundasang.

“Seorang pelajar perlu belanja lebih-kurang RM180 sebulan hanya untuk kos pengangkutan sahaja dan kos ini dijangka akan meningkat. Ramai ibu bapa pelajar mengeluh kerana tidak mampu.

“Pada mulanya KPM bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas untuk pengangkutan pelajar setiap hari sehinggalah sekolah baharu siap, namun kemudahan itu telah ditamatkan setelah hanya beroperasi hanya 6 bulan.

“Walaupun terdapat asrama disediakan tetapi tidak semua pelajar memilih untuk tinggal di asrama,” jelas beliau.

Sebahagian peserta perhimpunan aman di perkarangan bekas SMK Kundasang

Beliau juga berkata, selain kos pengangkutan yang tinggi, pelbagai kekangan lain terpaksa dihadapi dan kekangan-kekangan itu berpotensi belakunya keciciran pelajar.

Perhimpunan seawal jam 8 pagi di perkarangan bekas SMK Kundasang yang dihadiri ibu bapa pelajar, masyarakat kundasang, beberapa aktivis dan mantan guru sekolah terbabit, turut menuntut agar KPM mengembalikan semula SMK Kundasang ke tapak asal.

Peserta himpunan aman terdiri ibu bapa pelajar dan masyarakat Kundasang

Menurut Japiril, justifikasi yang menyokong SMK Kundasang dikembalikan sementara ke tapak asal antaranya, masih terdapat Zon Selamat yang boleh digunakan untuk sesi pembelajaran di bangunan tapak lama kerana masih kekal kukuh walaupun selepas kejadian gempa bumi yang melanda Ranau khususnya Kundasang pada 5 Jun 2015.

Selain itu katanya, didapati kerajaan masih membelanjakan RM5,000 sebulan atau RM60,000 setahun untuk kos pembersihan kawasan tapak SMK Kundasang lama.

“Kerajaan juga menyediakan kawalan keselamatan di tapak asal dan ini juga adalah kos yang merugikan kerajaan sekiranya bangunan asal tidak digunakan.

“Klinik Kesihatan Kundasang milik Kerajaan yang terletak berhampiran masih digunakan begitu juga Sekolah Agama Kundasang,” jelasnya.

Japiril juga mempersoalkan bekas bangunan SMK Agama Ranau yang turut diisytiharkan tidak selamat tetapi boleh dibaiki dengan sejumlah peruntukan, sebaliknya tapak asal dan bangunan lama SMK Kundasang tidak dibaiki.

Sebahagian lagi peserta Himpunan Aman Kembalikan SMK Kundasang Ke Tapak Asal

Selain itu, peserta perhimpunan mendesak KPM agar tapak lama SMK Kundasang yang kini sebahagiannya telah dibersihkan secara gotong-royong oleh masyarakat setempat khusunya ibu bapa pelajar, dibuka semula dengan status sekolah harian tanpa asrama .

Peserta perhimpunan turut sepakat menyuarakan harapan kereka demi memastikan anak-anak Kundasang mendapat pendidikan yang terbaik menerusi pelbagai inisiatif termasuk membaik pulih tapak seterusnya membina semula SMK Kundasang di tapak asal.-TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN