29 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kementerian Pendidikan Malaysia diminta naiktaraf Sk.Masilou: Jonathan

KENANGAN…Guru-guru SK.Masilou merakam gambar bersama Datuk Jonathan (berdiri lima dari kanan) dan Ajirin (enam dari Kanan) serta staf pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.

RANAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta agar menaiktaraf Sekolah Kebangsaan (SK) Masilou di sini dengan penyediaan infrastruktur yang lengkap demi kemudahan murid-murid, guru-guru dan ibu bapa (PIBG) yang tinggal di sekitar Kg.Masilou.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kelengkapan infra untuk pembelajaran murid-murid di SK.Masilou amat penting dan diperlukan sebagai kemudahan anak-anak mengikuti pembelajaran dengan sempurna untuk mencapai kecemerlangan dalam aspek Kurikulum, Ko-Korikulum dan Sahsiah diri ke tahap yang  unggul.

“Sekolah ini juga berpotensi dijadikan Hub Pelancongan memandangkan lokasinya strategik terletak di kaki Gunung Kinabalu gunung tertinggi di Asia Tenggara”, jelas Datuk Jonathan.

Beliau mengharapkan kepada para ibu bapa dengan kerjasama daripada guru-guru, serta pelajar sekolah berkenaan akan memikirkan sesuatu yang positif bagaimana mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif,lebih menarik, bersih, indah dan cantik boleh menarik para pelancong datang melawat serta merakam gambar mereka di kawasan sekolah untuk diabadikan.

Datuk Jonathan seterusnya menegaskan, sebarang permohonan untuk menambah  fizikal bangunan sekolah dan dengan infranya yang lengkap boleh diajukan bukan sahaja kepada pihak pejabat Parlimen Ranau atau pihak kementerian(KPM), institusi kewangan (bank) dan pihak Petronas juga boleh membantu menyalurkan  sumbangan menerusi CSR mereka.

“Kita ingin melihat sekolah ini bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi pembelajaran akademik murid-muridnya malah muncul sebagai sebuah sekolah contoh yang tercantik serta terbaik di Malaysia khususnya di negeri Sabah,”jelas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan program Gotong Royong Madani peringkat SK.Masilou baru-baru ini yang turut disertai puluhan ibubapa bersama staf Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.

Jonathan memuji inisiatif pentadbiran SK.Masilou kerana berjaya berganding bahu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan Gotong Royong Madani, yang bukan sahaja berjaya menyiapkan kerja dengan lebih cepat dan menjimatkan kos malahan menjadi landasan memupuk perpaduan, permuafakatan serta kerjasama erat dikalangan warga sekolah dengan ibubapa.

“Teruskan usaha yang baik ini demi kecemerlangan sekolah khususnya faedah anak-anak  yang sedang dan bakal memasuki untuk belajar di sekolah ini pada masa akan datang’, tambah Jonathan.

Turut berucap ialah, Guru Besar SK.Masilou, mewakili guru-guru dan ibubapa, Ajirin Sampin.

             

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN