PERLEPASAN…. Rithuan (empat dari kanan) bersama Supt. Muhamad Farid (kanan sekali) melepaskan peserta konvoi kembara IOW-Merdeka di perkarangan Sekolah Antarabangsa Labuan, pagi kelmarin.
LABUAN: Walaupun disambut dalam suasana norma baharu namun konvoi Kembara Info On Wheels-Merdeka (IOW) dan Kibar Jalur Gemilang tetap menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Labuan, pada Selasa.
Majlis perlepasan konvoi yang melibatkan lebih 10 buah kenderaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa, Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan.
Rithuan berkata, konvoi kembara IOW Merdeka yang bermula di perkarangan Sekolah Antarabangsa Labuan menuju ke pusat bandar melalui Laman Victoria dan berakhir di Pasar Sentral bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat dan menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan 2020.
Terdahulu sebelum itu, Rithuan bersama para tetamu menyaksikan upacara pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan yang di rasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Putra Jaya secara langsung menerusi hybrit digital.
Pada majlis itu, Rithuan turut menyampaikan sijil Hiking Merdeka kepada atlit paralimpik Labuan dan penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua pemimpin masyarakat dan juga Ketua-Ketua Jabatan.
Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ itu turut memaparkan video aktiviti pemasangan dan hiasan bendera Jalur Gemilang di lokasi terpilih selain ucapan sambutan Hari Kebangsaan oleh pemimpin tempatan.