ADVERTISEMENTspot_img

Kematian Zara Qairina: Tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja: Pakar Patologi

Dr Jessie Hiu




KOTA KINABALU: Kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di koridor tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, dalam kejadian 16 Julai lalu.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, ketika memberi keterangan pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner hari ini berkata, kesimpulan itu dibuat selepas meneliti rekod perubatan termasuk sinar-X, imbasan CT, CTA serta pemeriksaan lokasi kejadian pada 2 Ogos lalu.

Menurutnya, ukuran ketinggian mangsa berbanding pagar konkrit dan palang besi mendatar menunjukkan mustahil arwah terjatuh sendiri atau ditolak dari posisi berdiri.

“Si mati mempunyai ketinggian 154 sentimeter (cm), manakala pagar konkrit bersama palang besi mendatar tertinggi adalah 118 cm, iaitu melebihi tiga perempat daripada tinggi mangsa dan berada di atas pusat graviti badannya.

“Dengan perbezaan 36 cm ini, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak. Sebaliknya, berdasarkan pemerhatian saya, adalah lebih mungkin mangsa memanjat pagar konkrit, melintasi palang besi dan berdiri di atasnya,” katanya.

Dr Jessie berkata, laporan pemeriksaan lokasi turut disertakan bersama laporan bedah siasat bagi memberikan gambaran lengkap mengenai kecederaan antemortem yang dialami arwah.

Beliau yang berkhidmat di HQE sejak 1998 secara purata mengendalikan 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta kerap menjadi saksi pakar di mahkamah di Sabah dan Labuan.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung esok sebelum diteruskan pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN