Datuk Japiril Suhaimin
RANAU: Tragedi melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina, yang meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli berterusan di sebuah sekolah agama berasrama di Papar, Sabah, kembali mengundang perhatian terhadap isu buli yang masih berleluasa di institusi pendidikan.
Zara, seorang pelajar yang digambarkan sebagai aktif dan berpotensi, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan meninggal dunia sehari kemudian.
Menurut aktivis sosial dan pemimpin tempatan daerah Ranau, Datuk Japiril Suhaimin, aduan berkaitan insiden buli yang dialami mangsa sebelum ini tidak diambil serius.
Lebih mengecewakan, katanya, tiada tindakan diambil terhadap pelaku, manakala pihak sekolah dilihat lebih mementingkan nama baik institusi berbanding membela nasib mangsa.
“Ini bukan sahaja menafikan keadilan kepada Zara, malah memberi ruang kepada budaya buli untuk terus hidup dan berakar di sekolah,” tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Kisah Zara menurut Japiril, bukan kes terpencil, sebaliknya mencerminkan realiti menyedihkan yang turut dilalui ribuan pelajar lain.
Beliau berkata, ketiadaan saluran aduan yang selamat serta kurangnya kepercayaan terhadap sistem menyebabkan mangsa terus menanggung penderitaan dalam diam.
“Buli bukan sekadar kenakalan remaja atau tradisi senior-junior. Ia adalah satu bentuk keganasan psikologi dan fizikal yang merosakkan jiwa dan masa depan pelajar
“Seperti yang kita tahu, antara kesan buli terhadap mangsa termasuk trauma emosi, kecederaan fizikal, hilang keyakinan diri serta ketakutan untuk hadir ke sekolah,” katanya

Menurut Japiril lagi, data Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukan sebanyak 6,208 kes buli direkodkan sehingga Oktober 2024. Walaupun berlaku sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, jumlah ini masih membimbangkan dan menunjukkan bahawa isu ini merupakan satu krisis nasional yang memerlukan pendekatan tuntas.
Beliau turut menyentuh beberapa kes buli lain yang pernah mencetuskan perdebatan awam, antaranya MRSM Besut, Terengganu (2023) di mana enam pelajar dibuang sekolah selepas didapati bersalah membuli secara fizikal dan emosi.
“Selain MRSM Besut, sekolah Berasrama Penuh di Perak turut menyaksikan pelajar dipaksa melakukan perkara menjatuhkan maruah di hadapan rakan-rakan
“Lebih menyediakan, di sekolah rendah turut berlaku di mana kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah menunjukkan tingkah laku agresif seperti memaki, menolak dan memeras ugut,” katanya.
Sementara itu, sebagai langkah pembaharuan, Japiril menzahirkan syabas dan tahniah atas usaha dan tindakan kerajaan yang telah meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada Julai 2025 bagi mengiktiraf buli sebagai jenayah serius.
Jelas beliau, antara yang dikategorikan sebagai kesalahan ialah buli siber, ugutan, penghinaan, dan penyebaran maklumat peribadi (doxxing). Pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Namun begitu, kata beliau, keberkesanan undang-undang baharu ini bergantung sepenuhnya kepada ketelusan dan keseriusan pelaksanaannya di peringkat sekolah.
Japiril mengemukakan beberapa langkah strategik bagi membanteras budaya buli:
1. Tanggungjawab Penuh Pengurusan Sekolah– Setiap aduan mesti disiasat secara adil dan telus, serta mangsa dilindungi.
2. Penubuhan Unit Aduan Bebas – Saluran aduan bebas dari pengaruh pentadbiran bagi menjamin keadilan.
3. Pemasangan CCTV di Kawasan Kritikal – Sebagai alat bukti dan pencegahan.
4. Latihan Empati untuk Guru dan Warden – Memberi fokus kepada pengurusan trauma dan pendekatan berperikemanusiaan.
5. Reformasi Budaya Sekolah – Menghapuskan amalan “tradisi” yang menjatuhkan maruah pelajar junior.
6. Penglibatan Aktif PIBG – Menjadi suara ibu bapa dalam memantau dan menyokong usaha pencegahan buli.
“Kematian Zara adalah panggilan untuk seluruh masyarakat bertindak
“Buli bukan isu kecil atau peribadi, ia adalah ukuran kepada sejauh mana kita menjaga keselamatan, maruah dan kesihatan mental anak-anak kita,” ujar Japiril.
Beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pentadbiran sekolah, ibu bapa dan masyarakat umum agar tidak lagi memandang ringan isu buli, sebaliknya memperlakukan setiap kes sebagai kegagalan sistem yang perlu diperbetulkan segera, sebelum lebih ramai lagi mangsa menyusul.