ADVERTISEMENTspot_img

Semangat Antanom Sumber Inspirasi Perpaduan – Hajiji

GONG…Joachim memalu gong sebagai gimik perasmian Perayaan Pesta Ilau Kalimaran Kali ke-19 diiringi Rubin (tiga dari kanan), Matbali dan Riduan (kanan).

TENOM:  Rakyat negeri ini khususnya generasi muda diseru meneladani semangat perjuangan pahlawan Murut terbilang, Datuk Seri Panglima Ontoros Endoi @ Antanom dalam 

memperkukuh perpaduan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, semangat Antanom bukan sahaja simbol keberanian masyarakat Murut, malah pejuang sejati yang berjuang mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.
“Perjuangan Antanom tidak berasaskan sentimen suku bangsa, tetapi demi membela hak dan maruah semua masyarakat pada zamannya. 

Jiwanya lebih besar daripada sempadan etnik,” katanya pada kemuncak Perayaan Pesta Ilau Kalimaran Kali ke-19 di Dataran Pekan Kemabong, pada Sabtu.


Jelas Hajiji, perjuangan Antanom membuktikan betapa besarnya nilai sebuah tanah air dan harga diri rakyat yang wajar dipertahankan.
“Walaupun lahir sebagai pahlawan Murut, semangat juang dan pengorbanannya terhadap negeri ini perlu menjadi milik bersama seluruh rakyat Sabah.


“Tenom yang kini pesat membangun sebagai sebuah daerah pelbagai etnik hanya akan terus makmur jika rakyatnya mengutamakan keharmonian dan kestabilan politik,” ujar beliau.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam.


Menurutnya, kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa keyakinan dan penghormatan kepada Sabah di peringkat nasional, sekali gus memastikan limpahan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.


“Sabah adalah rumah kita. Rumah ini hanya akan terjaga dengan baik jika diurus oleh kepimpinan yang benar-benar memahami dan menjiwai aspirasi rakyatnya,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menekankan bahawa kestabilan politik adalah faktor penting untuk memastikan dasar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar, selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Warisan budaya perlu dipertahankan dan mengajak generasi muda memainkan peranan aktif memelihara seni, adat dan warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.


“Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan warisan yang menjadi identiti masyarakat. Nilai-nilai luhur budaya mesti diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya. 

Semangat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ perlu terus disemarakkan,” katanya lagi.


Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran perayaan kebudayaan seperti Pesta Ilau Kalimaran kerana ia bukan sahaja memartabatkan warisan, malah mengukuhkan jati diri rakyat Sabah sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum yang harmoni.


Malah, pesta tersebut disifatkan sebagai medan menyemarakkan semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai etnik, sekali gus memperkukuh asas kestabilan politik dan kemajuan negeri.


Antara yang mengiringi beliau ialah ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Pembantu Menteri II Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.- PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN