30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KELAB STAF PPD RANAU MENGHARGAI PERSARAAN TUAN HAJI SARIDIH

Bungkias (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Saridih

RANAU: Kelab Staf Pejabat Pendidikan Daerah Ranau mewakili seluruh warga pendidik di daerah ini mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Haji Saridih@Seridih Ahmad yang mengakhiri profesionnya dalam bidang pendidikan sebagai Pegawai SIPartners+ di Pejabat Pendidikan Daerah Ranau.

Haji Saridih yang lahir pada 24 Julai 1963 dirai dalam satu majlis khas pada 30 September lalu anjuran Kelab Staf Pejabat Pendidikan Daerah bertempat di DL Flower Café, Kilimu.

Haji Saridih yang berasal dari Kampung Lohan Ranau memulakan kerjaya sebagai pendidik dalam tahun 1989 apabila menjadi guru sandaran terlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh Ranau sebelum dilantik secara rasmi sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan pada 1 Feb 1990.

Antara sekolah beliau berkhidmat sebagai pengetua ialah di SMK Timbua, SMK Kemburongoh, SMK Bundu Tuhan dan SMK Lohan sebelum ditugaskan ke Pejabat Pendidikan Daerah.

Sebahagian pegawai dan staf PPD yang hadir pada majlis tersebut

Haji Saridih yang telah beberapa kali mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat Jabatan Pendidikan Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau merekodkan berbagai sumbangan seperti idea menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama AL-Irsyadiah Marakau dalam tahun 1993 dan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Kemburongoh dalam tahun 1997.

Dalam ucapan aluan persaraannya yang disampaikan dalam bentuk pantun dan seloka, beliau merakamkan penghargaan dan terimakasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana diberi peluang menabur bakti kepada anak bangsa. Beliau turut mengucapkan terimakasih kepada semua guru, sekolah dan staf PPD Ranau atas kerjasama dan hubungan mesra sepanjang dalam perkhidmatan.

“Terimakasih kepada Kelab Staf PPD atas penganjuran majlis yang akan saya kenang selamanya ini. Mohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan yang ada pada saya. Kepada semua warga pendidik, berkhidmatlah sebaiknya. Lakukan yang terbaik dengan penuh berintegriti agar kita dihormati, disanjung oleh masyarakat dan bekerjalah dalam keadaan santai bagi mengelakkan diri daripada stres,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Kelab Staf selaku Kaunselor PPD Ranau, Bungkias Angkapok mewakili semua warga pendidik mengucapkan selamat bersara kepada Haji Saridih.

“Kami seluruh warga pendidik mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji kerana bersara pada hari ini dengan penuh kecemerlangan dalam perkhidmatan. Persaraan merupakan satu fasa kehidupan penting yang dialami oleh seseorang individu. Kami mendoakan kesejahteraan Tuan Haji. Semoga kekal aktif selepas bersara dengan pelbagai bentuk aktiviti baharu seperti kerja-kerja berpersatuan, kebajikan di samping rutin seharian ke kebun agar sentiasa gembira dan bahagia bersama keluarga. Terimakasih sekali lagi. Sesungguhnya kami amat menghargai perkhidmatan Tuan Haji,” katanya.

Hadir pada majlis tersebut ialah mantan KPPD Ranau, Majus Munsing, mantan Timbalan PPD Ranau, Mozaini Yukin, Pengerusi PPSMS juga selaku wakil MGB Ranau, Marcus Safee, semua pegawai dan staf PPD.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN