Robert (tengah)merakamkan gambar bersama Jamri (empat dari kanan)selaku tuan rumah dan tetamu hadir.
KENINGAU: Perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman yang sedia terjalin perlu dikekalkan sebagai pemangkin keamanan dan kemakmuran di negara ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, budaya kunjung mengunjung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mana-mana perayaan di negeri ini bukanlah perkara baru tetapi ia sudah wujud sejak dahulu lagi.
Menurut Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor, kehadiran masyarakat masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan dalam mana-mana sambutan perayaan di negeri ini khususnya kawasan Pedalaman menunjukkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini terus subur.
”Budaya ini wajar dikekalkan dan dipupuk dikalangan generasi muda bagi menjamin keamanan dan kemakumuran yang telah wujud di negara ini” katanya semasa menghadiri jemputan Hari Raya Aidilfitri di Rumah keluarga Jamri Mansiri di Kampung Merampong kelmarin.
Robert menyifatkan amalan kunjung mengunjung di musim perayaan seperti Perayaan Hari Raya Aidilfitri adalah merapatkan silaturrahim diantara satu sama yang lain .
“Budaya kunjung mengunjung yang terus diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan menjadi teras perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini” jelasnya.
Beliau berkata, perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini pasti berkekalan jika amalan budaya seumpama ini tidak dibatasi dengan sentimen kaum dan kepercayaan.
Justeru itu katanya, budaya kunjung mengunjung dikalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dipelihara dan sentimen kesukuan serta agama perlu dihindarkan.