ADVERTISEMENTspot_img

Kejohanan Bola Tampar Tertutup Zon Tengah Ranau Terima Sambutan Luar Biasa

Masidi bersama Jalihah, Rusdi dan lain-lain semasa kejohanan itu

RANAU: Kejohanan Bola Tampar Tertutup Sempena Karnival Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Zon Tengah Daerah Ranau melibatkan 15 pasukan kategori lelaki dan wanita di sini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.


Acara sukan ini bertambah meriah dan bermakna dengan kehadiran Penyandang ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun yang seterusnya merasmikan kejohanan tersebut.


Kehadiran beliau dapat memberi semangat kepada pasukan yang bertanding. Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada pelajar-pelajar sekolah di daerah ini agar lebih banyak menyertai acara sukan sebegini.


Tambahnya lagi, bola tampar boleh dijadikan sukan pilihan utama seperti bola sepak, dimana bola sepak merupakan kegemaran masyarakat setempat.


“Saya berharap kepada semua pihak sekolah dapat lagi mempopularkan bola tampar seterusnya menjadi pilihan utama pelajar di sini.


“Kejohanan seperti ini dapat lagi menambah minat, semangat kesukanan, memupuk silaturrahim dan mengeratkan persaudaraan ketika acara ini berlangsung,” katanya.


Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Bola Tampar Tertutup Sempena Karnival Sukan PIBG Sekolah-Sekolah Zon Tengah Daerah Ranau di Dewan Kompleks Sukan Ranau, Sabtu.


Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur iaitu PIBG serta Ahli jawatankuasa (AJK) bagi menjayakan kejohanan tersebut.


Johan bagi kategori lelaki dimenangi oleh PIBG Lohan, naib johan disandang oleh Komuniti SK Lipasu C dan tempat ketiga Komuniti SK Lipasu A.
Bagi kategori wanita dimenangi oleh PIBG SK Lipasu A, naib johan PIBG Lohan dan tempat ketiga PIBG Kundasang.


Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG Jalihah Daimin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Masidi kerana telah sudi menyempurnakan dan turut menampung kos perbelanjaan penganjuran karnival ini.


Beliau yang juga Pengerusi Kejohanan berkata sukan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga merupakan wadah untuk menimba semangat kerjasama, kesepakatan serta penerapan nilai-nilai murni terutamanya dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan cemerlang.


“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat, malah dapat memperkukuhkan hubungan silaturahim antara warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat khususnya di Zon Tengah ini,” kata Jalihah dalam ucapannya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN