Prem memberi taklimat peraturan kejohanan kepada pengurus-pengurus selepas cabutan undi.
TAMBUNAN: Sebanyak 20 pasukan bakal meriahkan kejohanan bola sepak Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan yang dijangka diadakan bermula 8 Oktober ini.
Pengerusi Penganjur, Prem G. Kitingan berkata, kejohanan tersebut akan dirasmikan oleh ADUN Tambunan Datuk Seri Panglima Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri pada tarikh bermulanya kejohanan.
Katanya, kejohanan pada kali ini dijangka lebih meriah daripada tahun lalu berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dan kehadiran penonton yang tidak dihadkan.
Prem memberitahu, kejohanan pada kali ini juga yang agak lumayan iaitu ditempat pertama wang tunai RM8,888 berserta piala pusingan dan medal.
Manakala katanya, tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing bakal membawa wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM1800 berserta medal.
“Anugerah dan hadiah tambahan ialah Pemain terbaik, pasukan terbaik, penjaring terbanyak, pemain berbakat, penjaga gol terbaik dan pengadil terbaik, yang mana kesemua ini masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM200 dan tropi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Cabut Undi dan taklimat peraturan pertandingan kepada pengurus-pengurus pasukan, di Tambunan baru-baru ini.
Tambahnya, perlawanan kejohanan ini akan diadakan di Kompleks Sukan Tambunan.
Beliau turut berharap agar pasukan yang mengambil bahagian dalam bertanding kali ini dapat menafaatkan waktu ini untuk mengamalkan hidup sihat dan cergas.