Benedict (tengah) dan lain-lain pada perasmian Kejohanan MSS Zon Timur
RANAU: Sebanyak 11 buah sekolah rendah berentap dalam Kejohanan Olahraga MSS Zon Timur Kali Ke-48 Tahun 2024 yang berlangsung di sini pad ahari Khamis.
Kejohanan tahunan tersebut melibatkan sekolah-sekolah SK Nalapak, SK Sagindai, SK Matupang, SK Paginatan, SK Nunuk Ragang, SK Tampios, SK Paus, SK Miruru, SK Tinanom, SK Nukakatan dan SK Kananapon.
Pembukaan program sukan tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi setiap perlawanan, namun perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada muid-murid.
“Melalui acara seperti ini, para peserta dapat memahami bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.
“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan,” kata Jonathan melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda yang turut mewakili beliau dalam upacara itu.
Benedict (kedua kiri) menerima cenderakenangan selepas merasmikan Kejohanan Sukan itu
Sementara itu, beliau menambah bahawa kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.
“Matlamat akhirya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang.
“Kegiatan sukan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat,” katanya.
Menurut Benedict, melalui latihan persiapan mental dan spiritul, atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi.
Justeru katanya, semua pihak harus sedar bahawa melalui kegiatan sukan, negara mampu membangunkan modal insan yang berkualiti dan insan yang memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK Pengelola kerana telah dapat menjayakan Kejohanan Sukan Olahraga Tahunan dengan jayanya.
“Bagi pihak MP Ranau, kita akan sentiasa cuba membantu dalam aktiviti sukan seumpama ini dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak penganjur demi masa depan generasi kita.
“Kepada para atlet yang mengambil bahagian dan meraih pingat kejohanan, saya ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya janganlah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah pun menunjukkan bahawa anda telah mencipta kejayaan,” katanya.
Turut hadir di majlis it, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola yang juga Guru Besar SK Sagindai, Tuvin @ Tobing Bin Siong, Penolong Kanan, guru-guru, AJK PIBG, ibu bapa dan murid-murid sekolah.