Azri ketika berucap merasmikan Majlis Grand Khatam dan Ihtifal 2024 Rangkaian Tadika dan Sri Golden Nahlee Sdn. Bhd
KOTA KINABALU : Keedsflix International Sdn.Bhd menyasarkan 1,000 rangkaian sekolah pendidikan awal kanak-kanak di bawah jenama Keedsflix menjelang 2027.
Pengasasnya, Azri Jemani berkata, Keedsflix merupakan sekolah pendidikan awal kanak-kanak yang menawarkan modul Keeds Quranic bagi membolehkan anak-anak mula membaca Al-Quran pada seawal usia dengan pendekatan modul MUM iaitu Mengenal, Ulang, Mantap.
“Dengan modul ini, anak-anak bukan sahaja dapat membaca malah boleh mengkhatamkan Al-Quran pada usia enam tahun.
“Saya bersama dengan tim hari ini meletakkan satu matlamat yang besar, kita percaya dengan mencirikan program ini dalam bentuk Islamik Quranik dan teknologi ini kita ingin capai 1,000 cawangan seluruh Malaysia menjelang tahun 2027,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Grand Khatam dan Ihtifal, Rangkaian Tadika dan Sri Golden Nahlee Sdn Bhd 2024 di sini, pada Sabtu.
Menurut Azri, beliau berbangga dengan pencapaian anak-anak Keedsflix dalam satu tempoh jangka masa yang begitu cepat dengan modul yang disediakan.
“Dalam tempoh lima ke enam bulan boleh fasih baca Al Quran secara sendiri dan juga dengan sedikit bantuan guru yang lahir dalam tempoh jangka masa tak sampai setahun mereka berjaya khatam Al-Quran 30 juzuk.
“Jadi, Ini pencapaian yang sangat memberangsangkan dan memang menjadi asas kita dalam konsep pembelajaran di Keedsflix itu sendiri yang mana, kita berikan konsep Pembudayaan Islamiah kepada anak kita dan yang keduanya adalah sudut Al-Quran dan kita harapkan anak-anak ni mahir baca Al-Quran dan boleh khatam 30 juzuk,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan mulai tahun 2026 akan diadakan sekolah rendah kritis yang menggunakan konsep antarabangsa dan juga smart school iaitu tumpuan dan peningkatan kepada pelajar belajar menggunakan sistem digital yang ada aplikasi dan multimedia tersendiri.
Hadir sama, Pengarah Golden Nahlee Sdn. Bhd, Azwa Ahmad serta Penasihat Golden Nahlee Sdn. Bhd, Zakiamin Harun.
Sebanyak 246 cawangan Keedsflix telah beroperasi di seluruh Malaysia sejak ditubuhkan tiga tahun lalu. -Penerangan-Â



