Masidi, Abidin, Dr Joachim dan lain-lain memukul gendang dalam acara itu
RANAU: Kerajaan Negeri mampu memberi lebih banyak kepada rakyat dan negeri ini memandangkan kedudukan kewangan negeri sekarang yang agak baik, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun pada hari Sabtu.
“Bagi tempoh dua hingga tiga tahun berturut-turut kerajaan negeri telah mengeluarkan cukai yang tertinggi dalam sejarah kita iaitu hampir RM7 bilion setiap tahun.
“Jadi untuk beberapa tahun kebelakangan ini termasuk tahun lepas kerajaan negeri mampu mengutip hasil yang begitu besar kerana kerajaan mampu membiayai lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Sebagai Menteri Kewangan, saya ingin menyatakan bahawa rizab tunai kita buat masa ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah kerana kita mampu menguruskan kewangan dengan bijak kerana ada kestabilan dalam politik,” katanya.
Dengan kestabilan politik, Masidi berkata, Sabah memperolehi hasil yang lebih tinggi, justeru kerajaan boleh memberi lebih banyak peruntukan kepada apa sahaja permintaan daripada semua persatuan dan membelanjakan wang untuk pembangunan.
Bercakap mengenai pembangunan, katanya, terdapat beberapa projek utama di Ranau, di mana salah satu projek utama ialah projek air yang menelan belanja RM62 juta untuk membina satu loji penapis air baharu di Lohan dengan sumber air dari Sungai Nakamura.
“Salah satu lagi masalah utama di Ranau ialah traffic jamm di mana masa perjalanan yang biasanya mengambil masa 20 minit akan mencapai 2 jam ekoran masalah bottle neck, terutama sekali dari Kundasang dan dari arah Lohan ke Ranau.
“Kerajaan negeri telah menawarkan kepada kerajaan pusat, Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk membiayai pembinaan lorong memotong yang akan membolehkan kenderaan berat membenarkan kenderaan ringan lalu, sekali gus mengelak kesesakan lalu lintas.
“Tetapi ini hanyalah penyelesaian jangka pendek kerana bagi penyelesaian yang lebih kekal ialah pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Tamparuli-Ranau tetapi ia hanya akan bermula pada 2028,” katanya.
Selain itu, Masidi memberitahu bahawa beberapa lagi laluan alternatif dan jambatan utama juga sedang dalam pembinaan di tempat-tempat strategik yang boleh dilalui oleh pemandu bagi mengatasi kesesakan.
Sambil berkata demikian, Masidi turut meminta penduduk di sini menganggap keadaan kesesakan lalu lintas juga merupakan petunjuk bahawa orang luar masih datang ke Ranau, sekali gus membawa kesejahteraan kepada daerah itu sendiri.
Beliau berkata, apa yang menakutkan ialah realiti tiada kesesakan lalu lintas tetapi pada masa yang sama tiada siapa yang mahu datang ke Pekan Ranau, menjadikannya sebuah bandar yang sunyi dengan perniagaan yang kurang dijalankan.
Masidi berkata, apa yang penting ialah semua warga Ranau melihat kepada gambaran yang lebih besar dan berusaha untuk menjadikan Ranau sebagai sebuah daerah yang mempunyai banyak pembangunan.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata demikian semasa merasmikan Upacara Penyerahan Kepala Singa Kepada Pertubuhan Masyarakat Tiong Hua Ranau dari Kerajaan Negeri Sabah dan merasmikan Sambutan Tahun baru Cina 2025 yang diadakan di Dewan Hakka Ranau pada hari Sabtu.
“Dalam kesempatan ini saya ini mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Ranau kerana tidak jemu-jemu menjadi tempat untuk kita membahagi-bahagikan kepala singa setiap tahun,” katanya.
Beliau menambah bahawa penduduk Ranau mempunyai taraf pemikiran yang tinggi kerana masyarakat di sini tidak melihat perbezaan di antara satu sama lain tetapi menganggap semua adalah sama rata, dan inilah keunikan Sabah yang perlu pertahankan.
“Dan tempat yang terbaik untuk mempertahankan ini adalah di Ranau kerana di orang Malaysia yang terbaik adalah di Sabah, dan berani saya katakan bahawa orang Sabah yang terbaik adalah di Ranau,” jelas beliau.
Dalam majlis itu, Masidi meluluskan Peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau bagi menjalankan perancangan persatuan itu sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Presiden Dewan Perniagaan TiongHua Ranau, merangkap Presiden Persatuan Hakka Daerah Ranau, Kapitan Datuk Dr. Jimmy Tham mengucapkan terima kasih kepada Masidi atas Sumbangan itu.
“Tahun Baru Cina 2025 adalah lebih daripada sekadar sambutan, ia adalah refleksi tentang masa lalu dan harapan untuk masa depan. Pada tahun ini, kita akan merayakan tahun ular dan kita percaya Tahun ini dikaitkan dengan kebijaksanaan, ketajaman dan daya saing.
“Harapan saya ialah, tahun ini, akan membawa perubahan positif dalam hidup kita dan seterusnya membuka satu lagi lembaran baru dalam kehidupan kita dengan penuh harapan. Setiap langkah kita dipenuhi dengan keberuntungan Dan kebahagiaan dengan keluarga,” kata beliau.
Jimmy turut mengambil kesempatan itu dengan menyeru kepada semua yang hadir agar teruskan sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua pemimpinnya dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 nanti.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir; Pemangku Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Ouyang Huifeng; Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin; ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin; Pegawai Derah Ranau Tinus Bin Manggam; Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan Sabah Datuk Faimin Kamin dan lain-lain.



