Abidin (tengah) dan lain-lain dalam upacara itu
RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan Datuk Abidin Madingkir sempat bersama-sama dalam beberapa sesi Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) anjuran Gereja SIB Ranau.
KKR yang bertemakan ‘Nyalakan Apimu’ mendapat sambutan yang amat baik di kalangan penganut agama Kristen SIB khususnya di Kawasan Muruk.
Abidin dalam ucapannya di Gereja SIB Paus merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Penganjur KKR yang diketuai oleh Penetua Malakim Gapang kerana berjaya menganjurkan beberapa sesi KKR yang bermula dari 12hb Julai 2014 di Gereja SIB Pekan Ranau.
KKR kali ini mendapat sambutan ratusan penganut agama Kristen SlB di setiap gereja lokal yang dilawati khususnya di Kawasan DUN Paginatan.
“Penganjuran KKR bukan sahaja menguatkan iman dan kepercayaan para penganutnya tetapi juga ia mengajar kita untuk lebih mengampuni dan mengasihi walaupun dibenci.
“Sudah tentunya ia akan menguatkan hubungan kekeluargaan di antara satu sama lain.
“la juga mengajar kita bahawa kekrestianan bukanlah satu teori tetapi merupakan satu ‘lifestyle’,” kata beliau.
Abidin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bapa Pendeta Max JF Ebe atas kesediaan beliau melayani beberapa sesi KKR khususnya du Kawasan DUN Paginatan.
“Semoga Bapa Pendeta dan isteri sentiasa diberi hikmat untuk terus melayani dan menjadi saluran berkat kepada jutaan umat manusia di seluruh dunia,” kata beliau.
Turut hadir Ketua Kawasan SIB Kawasan Muruk, Penetua Libin Gakim, Pengerusi Penganjur KKR, Penetua Malakim Gapang, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.