PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menyiasat dakwaan kononnya wujud kartel di pelbagai peringkat pegawai dalam Jabatan Imigresen.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau mengakui menerima maklumat tersebut dan memberi jaminan perkara itu akan disiasat dengan rapi dan telus.
Beliau berkata, kehadiran kartel itu membolehkan mereka bebas di pejabat jabatan berkenaan, termasuk di pintu masuk lapangan terbang.
“Sindiket ini dikesan menggunakan pegawai-pegawai dalaman dan mereka bukan mahu mengejar kenaikan pangkat sebaliknya digunakan untuk bekerjasama dengan sindiket-sindiket luar.
“Sebagai contoh, baru-baru ini ada di media sosial memaparkan individu yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh mendapatkannya daripada individu tertentu.
“Perkara itu menggambarkan seolah-olah ada agensi di luar sana yang bertanggungjawab untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan imigresen,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Hari Imigresen 2021 di sini hari ini.
Katanya, beliau ingin menegaskan Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengeluarkan PLKS.
Mengulas mengenai pelancaran permohonan visa secara dalam talian, eVISA, Hamzah berkata, perkhidmatan itu kini diperluaskan kepada 35 negara berbanding 10 negara sebelum ini.
Menurutnya, pemohon dari 35 buah negara itu kini boleh memohon visa secara dalam talian tanpa perlu lagi ke pejabat kedutaan.
–Warta Oriental–