HASHIM bersama isteri menunjukkan aplikasi eWallet Boost selepas menebus pembelian barangan keperluan di salah sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.
LABUAN:Program Kasih Asnaf Zero Hunger Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memberi manfaat tambahan kepada 4,000 penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP di Wilayah Persekutuan Labuan.
Mereka (asnaf) yang telah menerima skim Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP bermula pada bulan Jun ini akan menerima bantuan kewangan tambahan sebanyak RM150.00 yang akan disalurkan melalaui akaun ‘eWallet Boost’ selama dua tahun bagi keperluan membeli barangan asasi.
Sementara itu dalam satu tinjuan yang dilakukan oleh beberapa pengamal media bersama kakitangan MAIWP Labuan terhadap penerima Bantuan Kewangan Bulanan yang berbelanja mengunakan kemudahan eWallet Boost Kasih Asnaf Zero Hunger menzahirkan rasa terharu kerana mereka bukan sahaja menerima bantuan kewangan setiap bulan, malah boleh berbelanja untuk membeli barangan asasi secara lebih mudah tanpa tunai sekaligus menambah meringankan beban perbelanjaan golongan asnaf.
Salah seorang daripada mereka yang sempat ditemui, Hashim Ghani, 81 dari Kampung Lajau menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIWP itu memberi makna yang cukup besar kerana beliau bukan sahaja menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 sebulan tetapi ditambah lagi RM150 untuk membeli barangan keperluan asas menerusi aplikasi eWallet Boost.
“Saya amat berterima kasih kepada MAIWP serta pembayar zakat atas segala bantuan yang kami terima selama ini, cara pembayaran tanpa tunai (eWallet Boost) juga memudahkan orang yang berusia seperti saya.
“Saya bersyukur kerana kerajaan yang ada sekarang dan juga pembayar zakat kerana begitu prihatin dengan golongan asnaf seperti kami,” katanya ketika ditemui selepas membeli belah di salah sebuah pasaraya menggunkan aplikasi eWallet Boost MAIWP.
Seorang lagi penerima bantuan ini Azaidi Alias, 38 turut memuji inisiatif yang telah membantu meringankan lagi beban golongan asnaf.
“Saya merasa gembira kerana bantuan ini dapat menampung perbelanjaan barang dapur serta keperluan anak-anak terutama jika saya meneghadapi kekangan duit perbelanjaan.
“Terima kasih pembayar zakat dan pihak MAIWP yang sentiasa membantu kami yang kurang berkemampuan,”katanya.