28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti penghujung November ini

Jonathan menerima cenderahati daripada Mursalin sambil diperhati oleh yang lain

RANAU: Dalam meningkatkan usaha memerangi jenayah di kalangan masyarakat di daerah ini, PDRM Ranau akan menganjurkan Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti di sini pada penghujung bulan November ini.

Program tersebut merupakan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan Negeri dan persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), serta swasta di daerah Ranau.

Sehubungan dengan itu, satu perjumpaan di antara Ketua Polis Daerah Ranau, P/Supt Mursalin bin Mahmud bersama Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin telah diadakan di Pejabat Parlimen Ranau baru-baru ini.

Perjumpaan yang telah diadakan buat kali kedua secara rasmi di antara PDRM dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen Malaysia itu merupakan susulan pertemuan kali pertama yang berlangsung pada 12 September 2024 lalu, yang juga merupakan kunjungan hormat dan suai kenal.

Tujuan perjumpaan ini adalah untuk Ketua Polis Daerah Ranau menyampaikan taklimat berkaitan intipati program Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti yang akan diadakan di Padang SK Kaingaran, Ulu Sugut Kundasang Ranau pada 30 November 2024.

Dianggarkan bahawa program tersebut akan menerima kehadiran antara 1,500 hingga 2,000 ribu orang dari sekitar kawasan Ulu Sugut, Ranau serta kawasan berdekatan.

Program itu akan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh bin Dikun.

Selain itu, Mursalin turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai isu-isu semasa berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Ranau khususnya statistik kes jenayah narkotik.

Turut disentuh adalah jenayah komersial melibatkan penipuan atas talian oleh ‘scammer’ sepanjang tahun 2024 di daerah Ranau yang telah mencatat kerugian mencecah RM1.6 juta.

Diakhir pertemuan, Jonathan menzahirkan penghargaan kepada Mursalin bersama rombongan di atas kunjungan serta taklimat yang disampaikan serta memberikan respon positif terhadap pelaksanaan program Karnival Kepolisan Komuniti Pencegahan Jenayah PDRM bersama komuniti setempat di Mukim Kaingaran, Ulu Sugut Kundasang.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan Khas Daerah IPD Ranau, ASP Khairun bin Zakaria, Pegawai Khas Ahli Parlimen P.179 Ranau, Ivan Mario Benedict, Setiausaha Sulit Kanan Ahli Parlimen P.179 Ranau, Hussen bin Hj Jirat dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN