29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Karnival Kaamatan Dan Majlis Makan Malam Amal Menyemarakkan “Sunduan” Kaamatan

Penutupan Karnival Kaamatan : Dari kiri, Dr. Effendy bin Yusuff (Ketua Jabatan, JHEP), Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah (Ketua Jabatan, JBKD), Dr. Hamidah Binti samsudin (Pengarah IPGMK Kent) dan Tn. Hj. Harun Bin Hj. Sarail (Timbalan Pengarah IPGMK Kent).

TUARAN: Karnival Kaamatan dan Majlis Makan Malam Amal anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah berjaya dilangsungkan dengan pelbagai aktiviti dan juga kehadiran warga sekolah dari beberapa daerah di Sabah.

Sambutan menggalakkan daripada para jemputan untuk bersama-sama menyemarakkan lagi “sunduan’ kaamatan melalui pelbagai aktiviti seperti pertandingan nyanyian sugandoi dan lain-lain memeriahkan lagi sambutan itu kali ini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Sugandoi kategori murid-murid sekolah rendah, sugandoi kategori siswa guru dan sugandoi kategori staff Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, pidato (roisol) kategori murid-murid sekolah rendah, peragaan 17 jenis pakaian tradisi mengikut kaum di Sabah oleh siswa guru IPGM Kampus Kent dan pertandingan makanan tradisi.

Selain pertandingan, IPGM Kampus Kent turut membuka beberapa booth pameran kearifan lokal, pakaian tradisi, kebudayaan, inovasi pembelajaran, pembelajaran digital, buku-buku dan seni pembuatan manik.

Karnival ini bukan sahaja memberi pendedahan dan peluang kepada siswa guru untuk bersama-sama para pensyarah merancang dan melaksanakan penganjuran program besar tetapi juga memantapkan lagi kebolehan diri untuk berbicara dikhalayak ramai serta meningkatkan lagi jati diri untuk menyemarakkan lagi “sunduan” kaamatan.

Karnival kaamatan yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPGM Kampus Kent ini berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga jam 4.00 petang dan dirasmikan oleh Pengarah IPGM Kampus Kent, Dr. Hamidah Binti Samsudin.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bagaimana karnival ini dapat mengangkat martabat kaum Kadazandusun di Sabah agar tidak hilang dibawa arus kemodenan serta dapat mengukuhkan lagi jati diri terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Pada sebelah malamnya, majlis makan malam amal yang dianjurkan oleh Kadazandusun Language Foundation (KLF) dengan kerjasama IPGM Kampus Kent dan Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah (PKDBS) telah menyemarakkan “sunduan” kaamatan dengan kehadiran pelbagai kaum di majlis ini yang sama-sama meraikan bulan Mei, Bulan Kaamatan di Dewan Seri Sulaman ini.

Ketua Jabatan BKD dan merangkap Pengerusi Penganjur, Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah yang telah menyampaikan ucapan dalam Bahasa Kadazandusun telah menjelaskan tentang tujuan Toluod Puhawang Karnival Kaamatan dan Majlis Makan Malam Amal.

Majlis tersebut diadakan bukan semata-mata mencari dana untuk membiayai aktiviti lawatan penandaarasan pelajar Bahasa Kadazandusun ke New Zealand dan Korea tetapi lebih dari itu.

Ia malah memberi ruang kepada pelajar-pelajar BKD untuk berkongsi pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan budaya, Bahasa, kesenian dan keakrifan lokal masyarakat Kadazan Dusun kepada guru-guru dan murid-murid sekolah rendah dan mencungkil bakat dalam nyanyian sugandoi, pidato, forum dan sebagainya di samping berama mesra dengan komuniti setempat.

Sementara itu, Menteri Pembangunan dan Luar Bandar Negeri Sabah, Datuk Jahid @ Noordin Bin Jahim dalam ucapan perasmian penutupan Majlis Makan Malam Amal itu turut memuji usaha serta inisiatif penganjuran acara itu pada kali ini.

“Kesungguhan yang telah ditonjolkan sepanjang majlis ini bagi mencapai matlamat program ini amatlah saya banggakan.

“Amat jelas terserlah semangat dan impian guru pelatih dan para pensyarah IPGM Kampus Kent Tuaran yang begitu berkobar-kobar dalam memartabatkan lagi budaya Kadazandusun di persada dunia melalui platform pendidikan sebagai langkah membawa dan memperkenalkan budaya Kadazandusun.

“Inisiatif Lawatan Penandaarasan ini sememangnya satu langkah bernas dalam memartabatkan dan memperkasakan budaya Kadazandusun ke peringkat yang lebih tinggi berikutan pada hari ini budaya khususnya bahasa Kadazandusun semakin kurang dituturkan dalam kalangan generasi muda masa kini,” kata beliau.


Dalam pada itu, Dr. Hamidah juga menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dengan penganjuran program seperti ini sebagai satu usaha dalam pencarian dana.


“Syabas dan tahniah kepada Jabatan Bahasa Kadazandusun dengan kerjasama PISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Jun 2021-2026 & 2021-2025, kerana berjaya menganjurkan satu program kebudayaan yang memenuhi aspirasi Malaysia Madani dan penglibatan yang menyeluruh dalam kalangan siswa siswi IPGM Kampus Kent.


“Program ini dapat menjadi medan untuk siswa dan siswi membina kemahiran diri dalam mengelola aktiviti kecil mahupun yang besar.


“Tidak hanya itu, program ini juga mampu mengangkat martabat kaum Kadazandusun di Sabah agar tidak hilang dibawa arus pemodenan serta dapat mengeratkan lagi hubungan ataupun perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai,” jelas beliau.


Melalui kerjasama, usaha dan alternatif yang dilaksanakan dan ditonjolkan sepanjang program ini, diharapkan dapat membawa kepada suatu perubahan dan kejayaan kepada matlamat program ini.


Diharapkan agar usaha ini terus dilanjutkan bagi melakar kejayaan di persada dunia khususnya bagi memperkasakan lagi budaya Kadazandusun dalam kalangan guru pelatih dan pensyarah IPGM Kampus Kent.


Turut hadir dalam program ini ialah para ketua jabatan, ketua unit, para pensyarah dan anggota kumpuan pelaksana IPGM Kampus Kent, pihak sekolah, perwakilan PIBG, murid-murid serta ibu bapa yang mengambil bahagian dan turut menyumbang dalam program ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN