Ellron menerima cenderakenangan daripada Alunsul.
PENSIANGAN:Kampung Sabinait yang berlatar belakangkan Hutan Simpan Pensiangan serta kekayaan adat dan budaya kaum Murut berpotensi dijadikan sebagai lokasi pelancongan di kawasan ini.
Menteri Belia Dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin berkata, kekayaan sumber semulajadi seperti hutan simpan yang masih tebal, kawasan tadahan air yang masih terpelihara, makanan tradisi, kraftangan berunsurkan budaya kaum Murut merupakan aset penting kampung ini untuk diperkenalkan kepada pelancong.
“Pewujudan tapak pelancongan di kampung ini pastinya akan meransang ekonomi dengan menjana pendapatan penduduk sekaligus meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung” katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sabinait, Pensiangan pada Sabtu.
Disamping itu katanya, dalam usaha mewujudkan pusat pelancongan di Kampung Sabinait, beliau akan membawa usul untuk diketengahkan kepada pihak jabatan atau agensi berkaitan.

Ellron (dua dari kiri)duduk santai bersama sebahagian penduduk Kampung Sabinait.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook turut menyeru kepada penduduk kampung agar sentiasa mengamalkan minda terbuka untuk menimba ilmu bagi memastikan mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Terdahulu wakil penduduk Kampung Sabinait yang juga tuan rumah Alunsul Sulindang menyatakan hasrat mereka dalam mewujudkan homestay di kampung mereka.
Hadir sama dalam program itu, Setiausaha Politik KBSS Jre Jreneus Pagut, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah merangkap Ketua Bahagian Star Nabawan Osman Aganduk, PPM Sook Tony Talasoy, CDO Nabawan Ami Talu.



