TAHNIAH…. Suria menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan kepada salah seorang penerima sambi diperhatikan Rauf (kiri sekali)
LABUAN: Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Datuk Suria Idris menyeru para pegawai dan kakitangan jabatannya mempertingkatkan mutu kerja yang berkualiti tinggi dan menjadikan perkhidmatan kepenjaraan sebagai perkhidmatan yang diyakini rakyat.
Seruan itu dizahirkan ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan Anugerah Pingat Jabatan Penjara Malaysia 2020 peringkat Pusat Koreksional Labuan, pada Jumaat.
Hadir sama Pengarah Pusat Koreksional Labuan, Abdul Rauf Lang Pasih, Timbalan Penguasa Penjara, Alfonsos Franciss Hill dan Timbalan Penguasa Penjara, Shamlin Mohd Tuali serta para pegawai kanan dan anggota Koreksional Labuan.
PENERIMA… Suria (duduk tengah), Rauf (duduk kiri sekali) bergambar kenangan bersama penerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada majlis tersebut.
Pada majlis itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua penerima anugerah sambil mengharapkan mereka terus mengekalkan prestasi cemerlang dan menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan yang lain.
“Sesungguhnya sokongan dan komitmen yang ditunjukan menyemarakkan lagi semangat anggota dan pegawai dalam meningkatkan amalan budaya kerja yang cemerlang” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Labuan Abd Rauf Lang Pasih berkata, pengiktirafan dan penghargaan itu diharap dapat melonjakkan motivasi para penerimanya.
“Semoga anugerah ini menjadikan anda insan kamil yang bersahsiah dan menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja selain mencetus inspirasi kepada semua warga kerja Pusat Koreksional Labuan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,” katanya.
Pada majlis itu seramai 9 anggota Jabatan Koreksional Labuan terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019, manakala 17 lagi menerima Pingat Penjara Malaysia 2020.
Menurut Suria secara keseluruhannya seramai 143 kakitangan Penjara Sabah telah dipilih sebagai Penerima Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium Bank Nasional (BSN) bernilai RMM1,000.