24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kaamatan kesempatan terbaik jalin silaturahim: Jenddy

CENDERAKENANGAN… Jenddy (kanan) menerima cenderakenangan disampaikan pengerusi penganjur

TENOM: Perayaan Kaamatan bukan sahaja semata-mata mensyukuri hasil tuaian tanaman setiap tahun, tetapi ia memberi kesempatan terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan ideologi politik.

Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Tuan Jenddy Sanggau berkata, penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan kali ini juga amat bertepatan sekali dengan tema minggu perpaduan peringkat kebangsaan 2024 iaitu “perpaduan dalam kepelbagaian”.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Gabungan KRT & JKKK DUN Melalap yang diadakan di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Melalap, Tenom baru-baru ini.

Antara penduduk yang hadir memeriahkan majlis

“Baru-baru ini saya bersama YB Datuk James Ratib selaku Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, merangkap Exco Perpaduan Negeri Sabah, telah menghadiri majlis pelancaran ‘Minggu Perpaduan’ peringkat kebangsaan di Negeri Johor, yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam majlis yang gilang-gemilang itu, saya sendiri merasa kagum dan terharu melihat kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang sama-sama menjayakan minggu perpaduan dengan penuh semangat kekeluargaan.

“Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana walaupun masyarakat kita terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik, namun selama ini kita dapat hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni,” katanya.

Oleh itu, Jenddy berharap agar masyarakat di sini turut bersama-sama memelihara semangat yang positif ini kerana ia memberikan sumbangan yang besar dan amat bermakna kepada kestabilan politik dan pembangunan ekonomi khususnya di kawasan Melalap.

MAKANAN TRADISI.. Sebahagian makanan tradisi yang dihidangkan pada majlis itu

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di kawasan Melalap, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda di bawah kerajaan negeri yang ditarajui oleh GRS pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

“Apa yang penting adalah rakyat sentiasa memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat dengan memastikan setiap perlaksanaan program pembangunan yang dirancang khususnya di kawasan melalap ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Berhubung sambutan Kaamatan, beliau menggesa semua supaya jadikanlah Sambutan Pesta Kaamatan ini sebagai titik permulaan untuk melonjakkan tahap ekonomi diri, serta masyarakat setempat, demi menjamin masa depan yang lebih baik.

Beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak khususnya Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan pada kali ini di atas kejayaan menganjurkan majlis yang cukup meriah itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN