Datuk Abidin menuai padi sambil diperhatikan oleh yang lain-lain
RANAU: Kaamatan adalah wadah perpaduan yang menyemaikan semangat kesatuan, perpaduan dan silaturahim di kalangan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, anutan agaman dan latar belakang seseorang.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, perayaan Kaamatan adalah satu budaya dan tradisi yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang sejak dahulu dan perlu diteruskan untuk masa hadapan.
“Nilai Kaamatan adalah kita mensyukuri keberhasilan tuaian kita.
“Kalau dahulu kita bersyukur atas berkat ‘Bambarayon’ atau semangat padi yang memberi kita tuaian yang baik tetapi sejak masyarakat kita mempunyai kepercayaan agama, kini kita bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kita keberhasilan dalam apa sahaja bidang pertanian yang kita ceburi,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kaamatan PDM Tampios yang diadakan di Mini Dewan Kg Tampios pada hari Sabtu.
“Tema perayaan Kaamatan peringkat PDM Tampios iaitu ‘Kaamatan Mongowit Pisompuruan Tokou’ amat tepat sekali kerana Kaamatan adalah wadah perpaduan yang menyemaikan semangat kesatuan, perpaduan dan silaturahim di kalangan kita tanpa mengira fahaman politik, anutan agama dan latar belakang seseorang,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Abidin mengajak agar “sama-sama kita memelihara budaya dan tradisi Kaamatan kita untuk dinikmati oleh generasi kita di masa hadapan,” katanya.
Menyentuh sedikit mengenai politik semasa, katanya, PRN17 akan diadakan dalam beberapa bulan lagi.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya bersyukur kerana diberi peluang sama sama dalam barisan anggota kabinet Kerajaan GRS.
“Pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 sudah berjalan selama 4 tahun dan sudah menampakkan hasil dengan pencapaian yang cukup membanggakan.
“Hasil kutipan kerajaan meningkat 3 tahun berturut turut. Pelaburan yang tertinggi dalam sejarah Negeri Sabah. Manakala belanjawan kerajaan bagi 2025 adalah yang tertinggi dalam sejarah.
“Dengan kestabilan politik di bawah Kerajaan GRS, kita mahu supaya kerajaan ini terus disokong supaya pelan pembangunan SMJ 2.0 dapat diteruskan,” kata beliau.
Sementara itu, mengenai permohonan Kg Kimarahang dan Kg Wakaku supaya sebahagian kawasan kampung tersebut dikeluarkan daripada hutan simpan kerajaan, katanya, pihak beliau akan kemukakan permohonan ini ke Jabatan berkenaan.
“Kita telah berjaya mengeluarkan kawasan Kg Ponulangon dan Kg Walou daripada Hutan Simpan dan tidak mustahil Kg Kimarahang dan Kg Wakaku juga mendapat pertimbangan yang serupa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abidin memberitahu bahawa cadangan yang dikemukakan oleh pihak belia yang diketuai oleh Saudara Aeron untuk perancangan satu kawasan di Makpang sebagai kawasan pelancongan juga akan dimajukan kepada pihak berkenaan untuk pertimbangan.
Berkenaan status terkini cadangan Pekan Kecil Paginatan, katanya, satu mesyuarat pemegang taruh cadangan tersebut akan dibuat untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk pecah tanah.
Tambah Abidin lagi, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ini adalah kunjungan kali yang ketiga beliau berada di Kg Tampios, dan ini sekaligus menepis tohmahan segelitir pihak lawan yang mendakwa jarang jarang masuk kampung.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap PJKKK Tampios, Nicholas George berkata, tema sambutan majlis itu ialah “Kaamatan Mongowit Pisompuruan Tokou”.
Sambil mewakili empat buah kampung di sekitar kawasan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Abidin Madingkir ke majlis itu.
“Terima kasih atas kelulusan pembaikan Mini Dewan Kg Tampios, termasuk pembaikan dapur dewan yang akan dirasmikan pada satu masa yang lain,” katanya.
Dalam majlis yang sama, KAN Dualis Porodtong merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana merealisasikan impian beberapa buah kampung di kawasan Mukim Paginatan/Paus di mana beberapa JKKK telah diujudkan.
“Diharap seterusnya Kg. Kimarahang juga kan akan mendapat kuota JKKK pada masa akan datang.
“Kita masih berbangga dengan rekod tanpa kalah YB DAM di PDM Tampios dalam dua pilihanraya yang lalu dan kita akan kekal kan rekod ini dalam PRN17 akan datang,” katanya.
Menurut Dualis, sejak YB Datuk Abidin Madingkir menjadi Wakil Rakyat kita di DUN Paginatan, Kg Tampios tidak terkecuali mendapat limpahan pembangunan.
“Sebagai contoh, klinik kesihatan luar bandar Kg Tampios adalah yang terbaik di kawasan ini. Kemudahan jalanraya dan kemudahan bekalan letrik telah siap dilaksanakan.
“Kita berharap bekalan letrik akan sampai ke Kg Bitoon dan seterusnya ke kampung-kampung di PDM Paus akan segera dilaksanakan.
“Untuk makluman, pembinaan mini hydro di Kg Pudau sedang dalam pembinaan dan semua ini adalah atas usaha YB Datuk Abidin,” kata beliau.
Justeru, beliau menyeru kepada semua rakyat di Mukim Paginatan/Paus supaya memberi sokongan padu kepada YB Datuk Abidin untuk terus kekal menjadi Wakil Rakyat kita selepas PRN17 nanti kerana tidak ada alasan untuk tidak menyokong beliau atas prestasi beliau yang cukup cemerlang sebagai Wakil Rakyat kita di DUN Paginatan.
Turut hadir Juis Konsuling, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, CDO Jipili Sigal, KAN Jaimin Jeffrey, Suhaimin Duari, Ketua Penerangan Parti Star Paginatan, Walil-wakil Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo WP34 dan para pemimpin kampung sekitar.



