Oleh: Dr. Jurry Foo
Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
https://web.facebook.com/pkppumskk
SmartV3 adalah medium Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang disediakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengendalikan PdP teradun. Komitmen penuh daripada semua jurulatih yang mementingkan kualiti PdP khususnya secara dalam talian menyumbang kepada pencapaian 100% lulus dalam penggunaan platform tersebut bagi semester 2 sesi 2020/2021. Sebagai tanda penghargaan, Pusat Kokurikulkum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) menganugerahkan sijil penghargaan kepada semua jurulatih yang terlibat, termasuk jurulatih di Kampus Antarabangsa Labuan pula dan Fakulti Pertanian Lestari Sandakan atas pencapaian tersebut.
           Encik Oscar Gordon Wong (Kursus Seni Animasi) mencapai peratus penggunaan tertinggi iaitu 84%, diikuti oleh Puan Awina Binti Kamis (Kursus Senamrobik) dan Puan Stella @ Nurul Martini Gontol (Kursus Kepimpinan dan Motivasi- BAKTISWA), Encik Mohd. Nazier Mat (Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar – POP) dan Encik Amer Azlan Bin Abdul Jamal (Kursus Interaksi Masyarakat – INTERIM). En. Oscar telah mencatatkan rekod tanpa gagal dalam pengendalian kursus menggunalan SmartV3 sejak sistem tersebut diperkenalkan sehingga pernah mendapat anugerah daripada Pusat E-Pembelajaran UMS.

Beliau juga menjadi mentor kepada jurulatih yang lain dalam PdP dalam talian. Puan Awina, Encik Mohd Nazier dan Encik Amer yang merupakan jurulatih senior pula tidak pernah mengecewakan dalam memberikan komitmen yang tinggi dalam penambahbaikan PdP, manakala Puan Stella adalah jurulatih yang sentiasa membantu PKPP menhendalikan program tambahan, termasuk membimbing kumpulan mahasiswa sehingga memenangi pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa bersama kumpulan mahasiswa bimbingan En. Juhar Harun. Jurulatih juga tidak kurang hebat malah bagi semester ini kelihatan semakin bersemangat untuk mengendalikan kerangka PdP yang telah dimurnikan.
Kelebihan SmartV3 ialah menjadi ruang interaksi dalam talian antara jurulatih dan mahasiswa. Ini adalah satu daripada kaedah pembudayaan digital dalam kalangan mahasiswa. Di samping itu ia mempermudahkan proses dokumentasi dan rujukan bahan pengajaran dan aktiviti PdPR secara lebih fleksibel tanpa mengira ruang dan masa. Antara aktiviti yang tersedia untuk pelajar melalui SmartV3 ialah kuiz, tugasan, perkongsian maklumat melalui muat naik fail, gambar atau perkongsian pautan, forum, chat dan kuliah dalam talian dan banyak lagi. Ini selaras dengan perkembangan Revolusi industri 4.0 dan hasrat pendigitalan masyarakat.