TAKLIMAT..Datuk Julita (kiri) ketika diberikan taklimat oleh Datuk Maria Chong, Setiausaha Tetap KWKKR
KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, memulakan tugasan rasmi selepas pelantikan beliau dengan mengadakan siri lawatan dan taklimat kerja melibatkan jabatan serta agensi di bawah kementerian berkenaan.
Pada 8 Disember, beliau menghadiri sesi taklimat pertama di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bandaraya, yang turut disertai oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal serta ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.

Taklimat tersebut bertujuan memberikan penerangan awal mengenai dasar, hala tuju serta program kementerian bagi memastikan pelaksanaan agenda kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
Hari ini (9 Disember), Datuk Julita mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) bersama Datuk Rina Jainal, bagi meneliti operasi serta pelaksanaan program kebajikan rakyat. Mereka turut diiringi Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Maria Chong, Timbalan Setiausaha Tetap Sektor Dasar dan Pengurusan, Henry Idol, serta Timbalan Setiausaha Tetap Sektor Program dan Pembangunan, Alijah Ismail.

Dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Julita menekankan kepentingan perkhidmatan kebajikan yang responsif, efisien serta inklusif dalam menangani isu sosial dan keperluan golongan terjejas.
Selain itu, beliau turut melakukan lawatan kerja ke Depoh Simpanan Keperluan Mangsa Bencana Kota Kinabalu bagi menilai persediaan logistik dan stok bantuan bencana. Tinjauan berkenaan dilakukan sebagai usaha memastikan keperluan mangsa bencana dapat diuruskan secara tersusun, terutamanya menjelang musim hujan dan risiko banjir.
Datuk Julita dijangka meneruskan siri lawatan ke beberapa jabatan lain dalam tempoh terdekat bagi memperkukuh koordinasi dasar serta pelaksanaan program di bawah kementerian.



