KOTA KINABALU: Ketagihan terhadap judi online atau atas talian di kalangan masyarakat amat membimbangkan kerana ia boleh menjurus kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.
Menteri Pembangunan Masyarakat & Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Bin Ratib berkata, pada masa kini sudah terdapat banyak kes yang diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kususnya berkenaan judi online.
“Tidak hairan perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga sekaligus menghabiskan wang yang sepatutnya digunakan untuk keperluan keluarga.
“Selain itu, penjudi ini juga akan selalu dibebani dengan hutang yang boleh menyumbang kepada pergaduhan dalam hubungan kekeluargaan.
“Justeru, saya menyeru pihak berwajib agar memandang serius perkara ini dan perlu memeranginya kerana boleh meruntuhkan institusi keluaga serta masyarakat malaysia secara amnya,” katanya.
Dalam pada itu, James berkata, kes-kes perpecahan keluarga serta keganasan rumah tangga juga berpunca daripada gejala penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
“Statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari tahun 2015 hingga 2018 pula menunjukkan sebanyak 83 peratus daripada 309 kes keganasan rumah tangga adalah berpunca daripada penagihan dadah.
“Oleh itu kesan buruk akibat pengambilan dadah ini kepada institusi kekeluargaan amat membimbangkan yang mana harus kita ambil penekanan bahawa ia perlu dihentikan segera demi masa depan anak bangsa kita,” kata beliau.
Tambah James, isu berkaitan penceraian, pergaduhan merebut hak penjagaan anak dan pelbagai sentiasa dicanang sebagai tanda kepincangan dalam institusi keluarga di Malaysia.
Justeru, katanya, kerajaan sentiasa berusaha dalam membendung masalah ini dari terus menyelubungi masyarakat sambil memberi pencerahan ilmiah atau bantuan khidmat nasihat perundangan menerusi klinik guaman serta slot literasi perundangan.
“Sebagai contoh perkhidmatan Pusat Bantuan Guaman Wanita Sabah (PBGW) yang diselia oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) memberi bantuan peguam secara percuma bagi kes Mahkamah Syariah, Sivil dan Anak Negeri terutamanya yang melibatkan kes kekeluargaan.
“Isu hak wanita dari perspektif perkahwinan sentiasa diketengahkan agar masyarakat dapat mengetahui hak sebenar mereka dan dapat memastikan hak mereka terpelihara.
“JHEWA telah pun menerima hampir 200 kes secara keseluruhan terutama melibatkan masyarakat di luar bandar dan diharapkan inisiatif ini akan meninggalkan kesan yang positif untuk kebaikkan masyarakat kita,” katanya.
James yang juga DUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan majlis Program Outreach Santuni Wanita sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 dengan tema ‘Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita’.
Majlis yang diadakan di Ballroom Wisma Wanita pada hari Khamis itu adalah khas bagi DUN Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Kapayan dan Moyog.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kelapan-lapan DUN berkenaan.
“Sekalung ucapan tahniah turut saya zahirkan kepada yang berhormat Pembantu Menteri Kewangan merangkap Adun Likas Datuk Tan Lee Fatt serta Adun Kapayan Jannie Lasimbang kerana hadir menjayakan program kita pada kali ini.
“Tidak dilupakan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, UPPM, pemimpin tempatan, JPKK, wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) JHEWA dan lain-lain yang hadir,” katanya.
Program Outreach Santuni Wanita ialah kesinambungan flagship inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tahun 2021-2025 di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi mereliasasikan hasrat kerajaan dalam usaha membantu rakyat mendapatkan pelbagai pekhidmatan yang dibawakan khas daripada jabatan kerajaan serta agensi-agensi yang terlibat.
Program yang telah dijalankan secara kerjasama bersama rakan strategik telahpun menjadi wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam memperkasakan golongan wanita serta masyarakat secara amnya.
“Pada hari ini program outreach santuni wanita telah melakar sejarah buat julung kalinya ia diadakan di Wisma Wanita di mana wujudnya bangunan ini menjadi bukti akan komitmen kerajaan negeri sabah dalam menyantuni para wanita itu sendiri.
“Penglibatan dari lapan kawasan DUN pada hari ini harus diberi pujian khususnya kepada pemimpin akar umbi kerana berjaya menghimpun sekaligus membawa program yang bermanfaat sebegini kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
“Sepanjang tempoh program berlangsung, JHEWA telah pun menyantuni seramai 4,807 orang di 56 kawasan DUN yang telah dilawati sepanjang 2021 hingga Disember 2024, dan buat pertama kalinya ia diadakan di Kota Kinabalu,” katanya.
James mengucapkan selamat menyambut hari wanita antarabangsa 2025 yang bakal disambut pada 8 Mac ini, dengan harapan semoga wanita terus komited, hebat dan berdaya maju dalam apa jua bidang serta cabaran.