Robert semasa mengunjungi pusat Rahmah Madani di Bingkor.
KENINGAU: Jualan Rahmah Malaysia Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup dengan kerjasama Bataras Hypermarket mendapat sambutan yang luar biasa di kalangan masyarakat kawasan Bingkor.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin menyifatkan jualan Rahmah itu menepati sasarannya kerana bukan sahaja diadakan di bandar-bandar tetapi di pekan-pekan kecil seperti di Pekan Bingkor.
Katanya, jualan yang memfokuskan 16 barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak, telur, ayam bulat dan lain lain lagi mendapat sambutan masyarakat setempat yang amat menggalakkan sejak dari pagi hingga ke penghujungnya.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, orang ramai datang berduyun-duyun menyerbu setiap kaunter jualan di Dewan Tomuan Aki Tingadon Pekan Bingkor.
“Ini disebabkan barang-barang keperluan asas dijual dengan harga yang berpatutan” katanya ketika ditemui semasa berkunjung di pusat jualan Rahmah Madani itu.
Beliau berharap jualan serupa ini dapat diteruskan dari masa ke semasa bagi meringankan beban masyarakat setempat berikutan kos sara hidup yang semakin membebankan.