25 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

JPKK perlu telus dan cekap agih bantuan bakul makanan kepada penduduk: Jahid

GIMIK Penyerahan bantuan oleh Jahid kepada Pengerusi JPKK yang hadir mengambil bantuan bakul makanan untuk kampung mereka.

TAMPARULI: Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu telus dan cekap dalam mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pengagihan bantuan makanan tidak perlu dilengah-lengahkan, sebaliknya dipercepatkan agar rakyat mendapat pembelaan segera.

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab pemimpin untuk membantu penduduk kampung masing-masing agar terus terbela,” katanya.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Tamparuli, Siti Faizah Binti Asli.

Beliau menyatakan demikian ketika memantau perjalanan penyerahan bantuan makanan oleh pihak Pejabat Daerah Kecil Tamparuli bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tamparuli di Dewan Pejabat Daerah Kecil, dekat sini hari ini.

“Hari ini kita memantau setakat mana perjalanan penyerahan bantuan ini kepada para penduduk kampung, dan kita ingin memastikan agar proses pengagihan tersebut berjalan lancar agar penduduk kampung menerima manfaatnya,” kata Jahid.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, kejujuran dalam proses penyerahan bantuan adalah amat penting, iaitu tiada bantuan yang terkurang dan diberi tepat pada masanya.

“Sekarang masanya untuk memperlihatkan kepimpinan anda, di mana ketelusan dan kecekapan memainkan peranan dalam soal pengagihan ini,” katanya kepada beberapa Pengerusi JPKK yang mengambil bantuan untuk kampung mereka.

Beliau turut menghargai usaha semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan proses pengagihan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu berjalan lancar.

Pada kesempatan itu juga, Jahid sempat berpesan kepada para pemimpin JPKK agar terus berkempen kepada penduduk masing-masing untuk mendaftar sebagai penerima Vaksin COVID-19.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN