30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

JPKK dan KK jangan bermusuhan: Abidin

Abidin menyerahkan sijil pelantikan kepada salah seorang Pengerusi JPKK pada majlis tersebut


RANAU: Demi kepentingan rakyat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak boleh sekali-kali bermusuhan dengan Ketua Kampung, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.


Sebaliknya, katanya, kedua-dua pihak perlu bersatu hati dengan bekerjasama untuk menjadikan kampung mereka aman, ceria, harmony dan menikmati pembangunan sewajarnya yang amat diperlukan oleh penduduk kampung.


“Saya telah menyaksikan sebuah kampung yang rakyatnya terbahagi kepada dua kumpulan, satu pihak menyokong Ketua Kampung, dan satu pihak menyokong Pengerusi JPKK. Tiada buah yang baik dihasilkan di kampung itu.


“Sebagai pemimpin di peringkat kampung, pembangunan serta institusi adat anak negeri perlu berjalan seiring, dan tidak mementingkan diri dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan daerah.


“Ke arah itu, pemimpin tempatan mesti menyingkirkan perbezaan mereka, dan bekerjasama untuk menyokong kerajaan dalam mencapai tujuannya untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan,” katanya.


Beliau mengingatkan Pengerusi-Pengerusi JPKK bahawa mereka adalah mata dan telinga kerajaan, justeru, apa jua masalah atau kesulitan yang dihadapi rakyat, mereka mesti membawanya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.


Beliau berkata, institusi JPKK di setiap kampung juga perlu menganjurkan mesyuarat mereka dan membuat minit yang betul yang boleh menjadi rujukan pada masa akan datang.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JPKK Sesi 2023/2024 DUN N.38 Paginatan yang diadakan di Lohan pada Khamis.


Dalam majlis itu, kira-kira 54 orang JPKK baharu dan sedia ada menerima pelantikan untuk berkhidmat kepada rakyat di kampung masing-masing untuk setahun akan datang.


Sementara itu, Abidin berkata, pelantikan Pengerusi JPKK dilakukan melalui pekeliling yang diterima daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan tidak dipilih secara rambang dalam kalangan penduduk kampung.


“Tahniah kepada anda yang baharu dan dilantik semula hari ini. Pelantikan anda adalah berdasarkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan anda serta keupayaan dalam menjaga keselamatan dan pembangunan kampung anda.


“Sebaliknya, mereka yang digantikan adalah mereka yang didapati gagal berkhidmat untuk rakyat semasa memegang jawatan sebelum ini. Ada juga yang memutuskan untuk tidak memohon semula jawatan ini dan membuka jalan kepada orang lain.


“Nasihat saya kepada semua JPKK baharu ialah jalankan tanggungjawab anda sebaik mungkin dan hargai peluang yang diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat kerana ia adalah panggilan istimewa yang tidak mudah diperolehi,” katanya.


Beliau berkata, sejujurnya, semua Pengerusi JPKK adalah lantikan politik, justeru mereka juga perlu sehaluan dengan pemimpin politik tempatan, serta menyokong ‘government of the day’ iaitu Kerajaan Perpaduan GRS.


“Kami berharap sebaik sahaja dilantik, tiada Pengerusi JPKK akan keliling kampung sambil memburuk-burukkan dan mencemarkan nama baik pemimpin politik tempatan, sambil cuba mengelirukan rakyat tentang senario politik semasa,” katanya.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.38 Paginatan, Mohd Hisyamuddin Bin Harun, CDO N.38 Paginatan, Japili Sigal dan Penyelia Pembangunan Masyarakat DUN N.38 Paginatan, Sainin@Onit Bin Hamid.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN